Caj tersembunyi 1BestariNet sampai RM41.8 juta, kata KPM


Zaim Ibrahim

Kementerian Pendidikan Malaysia tidak menyenaraikan YTLC sebagai pembekal perkhidmatan Internet ke sekolah untuk enam bulan sehingga 31 Disember ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2019.

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menolak perkhidmatan YTL Communications Sdn Bhd untuk kemudahan Internet di sekolah selepas mendapati ada caj tersembunyi yang dikenakan kepada kerajaan, kata ketua setiausahanya, Mohd Gazali Abas.

Gazali mendedahkan kerajaan menanggung caj menara telekomunikasi lebih RM41.8 juta yang YTLC tidak pernah bayar sejak projek 1BestariNet Fasa 2 bermula pada 2016.

“Laporan Ketua Audit Negara sebut patutnya kos ini ditanggung oleh YTL. Apabila kita berunding dengan YTL, mereka tidak mahu (membayar). Puas pujuk pun tak mahu,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya, hari ini.

Gazali juga menjelaskan kenapa kementerian menolak tawaran syarikat itu untuk sambungan perkhidmatan Internet percuma selama enam bulan bermula bulan ini.

“Kalau kita terima percuma selama enam bulan, kita yang akan tanggung. Bagi percuma tetapi kos elektrik, kos menara kita tanggung.

“YTL caj setinggi RM19,000 setiap sekolah setiap bulan bagi sekolah yang ada perkhidmatan fide optik. Jika Telekom, mereka caj kami tidak sampai RM200 sebulan untuk setiap sekolah. Kurang cerdiklah kita, kalau tak terima,” katanya.

Kementerian juga menolak perkhidmatan YTLC kerana tidak mahu kelemahan semasa pelaksanaan 1BestariNet Fasa 2 berulang.

“Hasil Kajian Impak dan Hala Tuju Pendidikan Digital Negara yang dijalankan ke atas guru, pelajar dan pihak pentadbir mendapati kualiti capaian Internet dibekalkan YTLC tidak memuaskan dan tidak dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada kerajaan,” katanya.

Dalam satu kenyataan pada 3 Julai YTLC mendakwa, KPM mungkir janji untuk menerima perkhidmatan Internet secara percuma.

Gazali mengadakan sidang media hari ini bagi menjawab kritikan YTLC terhadap kementerian selepas tidak menyenaraikannya sebagai pembekal perkhidmatan Internet ke sekolah untuk enam bulan sehingga 31 Disember ini.

Mulai 1 Julai lalu, kemudahan Internet ke sekolah dibekalkan oleh tiga syarikat iaitu Telekom Malaysia Berhad, Celcom Axiata Berhad dan Maxis Broadband Sdn Bhd, sementara tender penuh dimuktamadkan bermula 1 Januari, 2020.

Beliau berkata proses tender secara terbuka akan dilakukan secepat mungkin.

Kementerian akan menjalankan proses interim terhadap tiga syarikat tersebut bagi memilih syarikat yang mampu menawarkan perkhidmatan Internet terbaik dengan harga yang paling berpatutan.

“Berilah peluang kepada kita untuk mencuba pelbagai pilihan supaya kita ada ruang menilai dengan kos kita. Sebelum ini tidak ada peluang untuk mencuba jadi enam bulan ini, kita akan mencuba,” katanya.

Selain itu, melalui perkhidmatan YTLC, sekolah menggunakan perkhidmatan Frog VLE dalam sistem pembelajaran.

Ghazali berkata kos yang perlu dibayar kepada YTLC sepanjang tempoh interim adalah RM1.02 juta.

“Sekarang dengan perkembangan teknologi kita ada Google Classroom. Kita dapat secara percuma sedangkan guna Frog VLE,  kos lebih daripada RM1 juta,” katanya.

Sebelum ini, The Malaysian Insight pernah mendedahkan kontrak YTCL tidak disambung ekoran perkhidmatannya mahal dan tidak memberikan pulangan setimpal seperti yang boleh ditawarkan syarikat lain. – 5 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen