Sokongan bersyarat pembangkang jadikan keputusan tidak pasti


Chan Kok Leong Lee Chi Leong Mohd Farhan Darwis

Ahli Parlimen pembangkang meletakkan syarat agar kerajaan menerima cadangan pendaftaran pengundi secara automatik dan menurunkan umur calon bertanding daripada 21 kepada 18 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2019.

AHLI Parlimen pembangkang pada prinsipnya bersetuju menurunkan had usia mengundi kepada 18 tahun, tetapi pengumuman sokongan bersyarat mereka semalam terhadap rang undang-undang kerajaan itu menyebabkan hasil yang diharapkan tidak dapat dipastikan lagi.

Kerajaan akan membentangkan rang undang-undang untuk meminda Perkara 119 (1) bagi bacaan pertama di Dewan Rakyat hari ini. Ia masih perlu melalui pembacaan seterusnya dan akan dibahaskan.

Ia memerlukan sokongan dua pertiga daripada ahli Parlimen untuk lulus, tetapi Pakatan Harapan, walaupun dengan sekutunya di Sabah, masih kekurangan sembilan undi.

Ia akan menjadi cubaa kedua kerajaan untuk meminda Perlembagaan selepas gagal mendapatkan sokongan memberi hak sama rata kepada status Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia pada April.

Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional dan PAS positif mengenai usia mengundi yang lebih rendah manakala Gabungan Parti Sarawak lebih keberatan, membayangkan beberapa syarat perlu dipenuhi terlebih dahulu.

“Sekiranya mereka boleh berkahwin pada usia 18 tahun, tiada alasan mengapa mereka tidak dibenarkan untuk mengundi. Mengapa kita harus prejudis terhadap belia berusia 18 tahun?” kata Ahli Parlimen Padang Rengas daripada Umno, Nazri Abdul Aziz.

“Dan jika kita mahu mempersoalkan kematangan mereka, malah sesetengah ahli Parlimen kita sendiri berkelakuan lebih tidak matang,” kata ahli Parlimen selama enam penggal itu kepada The Malaysian Insight.

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz berkata tiada sebab untuk tidak membenarkan belia mengundi pada usia 18 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2019.

Nazri berkata sistem persekolahan negara yang berakhir pada 17 dan 18, menyaksikan ramai belia mula bekerja pada usia itu.

Justeru, tiada sebab untuk tidak membenarkan mereka mengundi pada usia 18 tahun.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Baling, Azeez Rahim berkata kerajaan harus meneliti pendaftaran pengundi secara automatik (AVR) terlebih dahulu sebelum menurunkan had umur mengundi.

“Pada masa ini, terdapat hampir 4 juta pengundi tidak berdaftar dan Suruhanjaya Pilihan Raya harus melihat terlebih dahulu AVR. Bukannya saya tidak setuju menurunkan umur minimum, tetapi kerajaan harus terlebih dahulu menangani isu AVR.”

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata pengundi yang tidak mengundi selepas AVR boleh didenda.

“Hanya Singapura dan Malaysia tidak mempunyai AVR pada masa ini,” kata Azeez.

Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob dan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sidang akhbar juga meminta pendaftaran pengundi automatik terlebih dahulu. – 4 Julai, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen