Pembangkang letak syarat untuk sokong usul undi 18 tahun 


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan tidak perlu membuat pindaan berulang kali dan dapat menyelesaikan isu rakyat belum mendaftar sebagai pengundi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2019

PEMBANGKANG meletakkan syarat kepada Putrajaya sekiranya mahu pindaan Perlembagaan berkaitan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun disokong.

Syaratnya ialah menerima cadangan pendaftaran pengundi secara automatik dan menurunkan umur calon bertanding daripada 21 kepada 18 tahun.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dengan cara itu, kerajaan tidak perlu membuat pindaan berulang kali, selain dapat menyelesaikan isu rakyat yang masih tidak mendaftar sebagai pengundi.

“Kami yakin kerajaan inginkan usul lulus, kalau nak usul lulus, kena ikut juga pandangan pembangkang…kita juga sokong, bukan tentang 18 tahun sahaja tetapi lebih bermakna untuk rakyat.

“Isu kita ialah 4 juta pengundi layak mengundi yang tidak daftar mengundi, untuk menggalakkan kesedaran politik rakyat sebab itu kita cadangkan daftar automatik, kerajaan juga tidak perlu buat dua, tiga, kali pindaan, kalau boleh selesai sekali gus,” kata Tuan Ibrahim pada sidang media di Parlimen hari ini.

Sidang media itu disertai ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera dari Umno.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan taklimat kepada ahli Parlimen pembangkang berkaitan pindaan Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan berkenaan mencadangkan penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka akan membawa usul persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan warganegara cukup umur 18 tahun didaftarkan sebagai pemilih secara automatik.

“Selaras dengan itu, pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan, berkaitan kelayakan menjadi calon pilihan raya juga diturunkan kepada 18 tahun,” katanya, pada sidang media sama.

Pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Dewan, dan Pakatan Harapan (PH) memerlukan sokongan ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk meluluskan pindaan berkenaan.

“Dalam perbincangan dengan ahli Parlimen, kita dah bangkitkan dengan kerajaan, kalau tidak buat pendaftaran automatik kami tidak setuju dengan pindaan Perlembagaan yang dibentang,” kata ahli Parlimen Bera itu.

Beliau turut mendedahkan, dalam perbincangan bersama kementerian, pihak kerajaan masih tidak bersetuju dengan pendaftaran pengundi secara automatik.

Kerajaan dijangka akan membentangkan usul untuk bacaan kali pertama esok. – 3 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen