Dr Mahathir dan langkah kanan era BN 


Badrul A Bakar

SEWAKTU Utusan Malaysia dan Berita Harian adalah lidah parti pemerintah secara mutlak, istilah parti berhaluan kiri dan kanan digunakan dengan sewenangnya. 

Biarpun ada betulnya Barisan Nasional (BN) ialah parti kanan dan kebanyakan parti pembangkang berada di bahagian kiri spektrum ideologi politik, label semberono tersebut ternyata membentuk persepsi parti kanan ialah kerajaan dan sampai bila pun haluan kiri adalah pembangkang.

Lebih parah muncul pula anggapan parti kanan baik dan parti kiri itu jahat. Kononnya hanya parti kanan yang cintakan kestabilan, manakala parti kiri sifatnya radikal dan suka buat kacau walaupun Parti Komunis Malaya sudah meletak senjata. 

Secara sosiologikal, stereotaip di atas timbul kerana konotasi baik dan buruk, negatif dan positif dalam masyarakat Malaysia. Misalnya, tangan kanan untuk makan dan tangan kiri untuk cebuk. Selepas bangkit dari kubur, menerima amalan dengan tangan kanan masuk syurga dan sebaliknya masuk neraka. 

Tanpa sedar, ini membina pemikiran seolah menyokong parti kanan masuk syurga, mengundi parti kiri bakal rentung di neraka. 

Kanan, kiri atau tengahnya sesebuah parti digambarkan oleh sikapnya terhadap ekonomi. Secara implisit ini bermaksud ideologi politik itu sendiri bersifat economic determinism

Umumnya, parti kanan percaya kepada polisi tidak campur tangan negara (kerajaan) dalam ekonomi. Asas intelektualnya datang dari ajaran Adam Smith yang berhujah tentang pengurangan peranan negara dalam ekonomi menerusi buku The Wealth of Nations.

Manakala, idelogi kiri adalah anti-tesis kepada hujah Smith. Tradisi intelektualnya berasaskan kepada pemikiran Karl Marx dalam tesis Das Kapital dan bukunya berjudul The Communist Manifesto yang melahirkan pelbagai isme kiri seperti Marxisme, komunisme, sosialisme, Leninisme, dan beberapa yang lain. 

Namun, makalah ini hanya membincangkan tentang kanan.

Hujah Smith mengenai perdagangan bebas ini jugalah yang mendasari tradisi liberalisme (dan kapitalisme), sama ada dalam ekonomi totok mahupun politik, sosial, hubungan antarabangsa, dan globalisasi. 

Pun begitu, pada masa kini terma liberalisme bagaikan hantu di Malaysia kerana ia datang bersama dengan sekularisme, pluralisme, dan multikulturalisme.

Berbalik kepada ekonomi, parti kanan sebolehnya tidak mengawal harga barang dan perkhidmatan, tidak memberi subsidi, tidak menentukan gaji minimum. Segalanya ditakdirkan oleh hukum permintaan dan penawaran, justeru pihak swasta sangat berperanan. 

Oleh kerana sifat swasta bermatlamatkan keuntungan, maka segalanya menjadi cekap dan bermutu. Ini meliputi pembuatan, pengeluaran, perkhidmatan, penyampaian dan pelbagai lagi.

Pendek kata, ekonomi meregulasi dirinya sendiri. Peranan kerajaan yang terbatas justeru membolehkan munculnya kerajaan kecil (small government). Secara lebih terperinci, ia bermakna saiz pentadbiran awam yang kecil dapat menjimatkan wang negara (rakyat).

Kalau adapun usaha regulasi, ia terbatas kepada polisi fiskal yang bermain dengan angka oleh bank pusat. Misalnya di Malaysia, Bank Negara Malaysia mengurangkan kadar pinjaman asas (KPA) untuk menggalakkan rakyat berbelanja (beli rumah) dan menaikkannya apabila mahu meningkatkan deposit.

Antara parti kanan yang terkemuka di dunia ialah parti Republikan di Amerika Syarikat (AS) dan parti Konservatif di United Kingdom (UK) yang dipanggil juga sebagai Tory. Oleh itu, parti Demokrat ialah parti kiri dalam konteks politik kepartian AS dan parti Buruh ialah parti kiri di UK. 

Manakala, pemimpin dunia yang terkenal dengan polisi kanannya ialah mantan presiden Amerika Syarikat Ronald Reagan dan mantan perdana menteri United Kingdom Margaret Thatcher. 

Reagan dan Thatcher berusaha membawa ekonomi dunia keluar dari kemelesetan dalam dekad 70-an dan 80-an menerusi gagasan neo-liberal yang merupakan asas intelektual bagi globalisasi. Neo-liberalisme menganjurkan liberalisasi, penswastaan, dan nyah-regulasi serta bersikap anti-perlindungan. 

Peranan kerajaan dikurangkan dalam ekonomi agar dapat juga meruntuhkan halangan perdagangan antarabangsa seperti tarif dan bukan tarif. Jika tarif mengenai cukai, bukan tarif adalah seperti subsidi kerajaan terhadap barangan keluaran tempatan, kerenah birokrasi, peraturan dan undang-undang yang mengekang keluar-masuk barangan, perkhidmatan, modal, dan tenaga kerja. 

Semua ini mengurangkan peranan kerajaan dalam ekonomi dan dapat mengecilkan saiz pentadbiran awam dalam sesebuah negara. Ini seiring dengan pelbagai konsep pengurusan seperti outsourcing, delayering, downsizing, dan lean organization.

Selain itu, langkah kanan ini menghasilkan pengaliran modal, ilmu dan kemahiran, dan teknologi dari negara maju ke negara membangun. Namun, secara eksplisitnya globalisasi ialah perpindahan kilang dari negara maju ke negara membangun.

Deretan kilang di sepanjang Lebuh Raya Persekutuan dari Petaling sehinggalah ke Shah Alam, serta di Nilai, Senawang, Ayer Keroh, Batu Berendam, Pasir Gudang, Gambang, Bayan Baru dan banyak lagi kawasan perindustrian yang dulunya dikenali sebagai “pusat perdangangan bebas” menjadi bukti.

Selain Dr Mahathir Mohamad yang menyahut cabaran globalisasi, Presiden Suharto, Perdana Menteri Lew Kuan Yew, Presiden Chun Du Hwan dan Roh Tae Wu adalah diktator yang turut sama mengubah negara masing-masing daripada negara agraria kepada industri. 

Secara spesifik, model ekonomi yang baharu itu ialah berasaskan eksport, perkilangan, pembuatan, dan elektronik.

Semasa mengetuai kerajaan Pakatan Harapan kini, Dr Mahathir masih menyebut tentang Malaysia sebagai salah sebuah Harimau Asia kerana pertumbuhan ekonomi dan kepesatan pembangunan di era 1990-an.

Harimau lainnya ialah Indonesia, Negara Thai, dan Filipina. Negara yang lebih ke depan dilabelkan pula sebagai Newly Industrialized Country (NIC). Dalam senarainya ialah Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, dan Singapura.

Jika membawa kilang dari luar negara ialah langkah kanan ekoran runtuhnya halangan perdagangan, amalan penswastaan di Malaysia dan negara-negara Asia di atas menimbulkan persoalan. Ini kerana negara masih memiliki saham yang menunjukannya berpartisipasi dalam ekonomi menerusi syarikat berkaitan kerajaan atau GLC.

Yang menarik, kerajaan menubuhkan pula badan pelaburan yang mengukuhkan lagi amalan corporate nationalism. Di Malaysia, badan pelaburan yang terkemuka ialah Khazanah Nasional dan kemudiannya 1MDB yang dimiliki oleh kerajaan pusat. 

Manakala, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), JCorp yang dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ), Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) adalah antara badan pelaburan milik negeri dalam Malaysia.  

Akhir sekali, Malaysia merangsang ekonomi dengan projek pembangunan inisiatif kerajaan ataupun GLC, justeru bertepatan dengan konsep negara pembangunan (developmental state).

Beginilah Malaysia dalam melakukan suai dan serap terhadap polisi kanan yang datang dari negara Barat. Kerajaan semakin berperanan dan muncul pula politik wang walaupun telah melaksanakan langkah kanan yang sepatutnya menjimatkan dan meningkatkan kecekapan.

Bagaimanakah pula dengan nasionalisasi konsesi lebuh raya kelak? 

Adakah ia langkah kiri yang menjimatkan atau penuh pembaziran? – 2 Julai, 2019.

* Dr Badrul A Bakar atau Dr Bae ialah pensyarah sains politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM. Beliau percaya pada demokrasi dan pendemokrasian, atas pengalaman hidup dalam persekitaran demokratik semasa belajar dan bekerja di Amerika Syarikat sewaktu pentadbiran Clinton.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen