ISMAIL Sabri Yaakob akan kekal sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat, kata Ahmad Zahid Hamidi yang kini kembali menjalankan tugas presiden Umno.
Zahid berkata, perkara itu juga telah dipersetujui Timbalan Presiden Umno Mohmad Hasan dan semua ahli Parlimen pembangkang.
“Saya telah mengambil keputusan bahawa persetujuan semua ahli Parlimen pembangkang yang dulunya sewaktu saya bercuti telah meletakkan Ismail Sabri sebagai ketua pembangkang kekal.
“Ini bererti buat masa ini ada pembahagian tugas antara saya, Mohamad Hasan, Ismail Sabri dan Mahadzir Khalid sebagai ketua whip di kalangan ahli Parlimen pembangkang,” kata Zahid.
Jelasnya, keutamaannya dalam menjalankan tugas presiden Umno kali ini adalah untuk melihat parti itu terus diterima rakyat dan relevan dalam politik.
“... Biar apa pun terjahan isu dan lemparan pelbagai permasalahan sama ada kepada parti dan kepada kepimpinan dan kami akan hadapi semu perkara itu secara kolektif,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan, sejumlah 87 tuduhan ke atasnya akan dihadapi secara peribadi di mahkamah tanpa melibatkan Umno sebagai organisasi.
“Ia tidak libatkan Ummo sebgai entiti politik, saya serahkan kepafa barisan peguam saya untuk uruskan, tentunya pertuduhan itu tidak halang saya jalankan tugas sebagai presiden Umno dan ahli Parlimen,” kata Zahid lagi.
Beliau mengumumkan untuk menamatkan percutian dan kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno semalam.
Zahid semalam mengumumkan untuk kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno selepas bercuti selama enam bulan.
Zahid bercuti daripada menjalankan tugas tersebut selepas memenangi jawatan berkenaan dalam pemilihan parti tahun lalu, ekoran kekalahan Umno pada Pilihan Raya umum Ke-14 (PRU14).
Bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein berharap keputusan Zahid untuk kembali menjalankan tugas presiden tidak akan memecahbelahkan parti.
Ahli Parlimen Sembrong itu berkata ini kerana keadaan Umno bertambah baik sejak setahun lalu selepas kalah pada PRU14. – 1 Julai, 2019.
Komen