Hishammuddin harap kepulangan Zahid tak jejas Umno


Mohd Farhan Darwis

Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein berkata keputusan Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali menjalankan tugas presiden Umno diharap tidak akan memecahbelahkan parti itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 1 Julai, 2019.

BEKAS naib presiden Umno Hishammuddin Hussein berharap keputusan Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali menjalankan tugas presiden tidak akan memecahbelahkan parti tersebut.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata ini kerana keadaan Umno bertambah baik sejak setahun lalu selepas kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

“Saya bukan memegang jawatan tinggi dalam parti tetapi sebagai ketua bahagian dan orang yang sayang kepada parti, saya harap perkara macam ini tidak boleh menjejaskan apa yang telah kita bina selama setahun hanya kerana Zahid membuat keputusan untuk kembali ke pangkuan kepimpinan parti,” kata Hishammuddin.

Hishammuddin berkata berdasarkan perlembagaan Umno, Zahid juga berhak untuk kembali bertugas.

“Daripada segi perlembagaan parti memang Zahid berhak untuk kembali memimpin, bagi saya yang penting sekarang keputusan telah dibuat itu hak dia dan penting untuk parti melihat kepada kesatuan dan kedudukan parti itu sendiri.

“Jangan perkembangan terkini membuka ruang yang lain untuk kita bertelagah sesama kita,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Katanya, beliau berharap Umno akan tetap utuh dengan kepulangan Zahid.

“Saya mahu melihat parti kukuh, kita sekarang berada dalam kedudukan yang baik berbanding tahun lalu,” katanya.

Zahid semalam mengumumkan untuk kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno selepas bercuti selama enam bulan.

Zahid bercuti daripada menjalankan tugas tersebut selepas memenangi jawatan berkenaan dalam pemilihan parti tahun lalu, ekoran kekalahan Umno dalam PRU14. – 1 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen