KEPUTUSAN Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno akan dapat meredakan politiking dalam parti, kata timbalannnya Mohamad Hassan.
Beliau menjelaskan, langkah itu akan menghalang usaha pihak tertentu yang menurutnya cuba melaga-lagakan para pemimpin Umno apabila beliau menggalas tugas presiden parti.
“Saya mengalukan-alukan dia kembali. Elok juga dia buat keputusan begitu kerana banyak sangat cakap-cakap, maka tidak elok.
“Jadi, beliau hendak kembali menjalankan tugas alhamdulillah. Ia akan mematikan cakap-cakap yang selama ini diada-adakan untuk mengadu domba pemimpin,” katanya `
Ketika ditanya, Mohamad juga berkata tindakan Zahid itu tidak akan mengganggu keputusan yang dibuat oleh Umno sejak beliau mengambil alih tugas sebagai presiden.
Mohamad berkata, semua keputusan parti sewaktu beliau mengambil alih tugas Zahid itu dibuat secara bersama dalam Majlis Tertinggi (MT) Umno.
“Apa yang saya buat selama saya menjalankan tugas presiden adalah berdasarkan asas yang saya buat, dan dipersetujui, semuanya atas kerjasama MT, tidak ada apa-apa kelainan.
Adun Rantau itu juga berpendapat, Zahid akan dapat menjalankan tugas sebagai presiden walau perlu menghadapi 87 pertuduhan mahkamah.
“Tidak ada pula menganggu, Umno akan terus berjalan di samping Zahid meneruskan pembelaan bersama dengan peguam yang disusun.
“Itu hari agaknya Zahid terpaksa ambil banyak masa beliau untuk berbincang, tetapi kesnya sedang berjalan.
“Maka saya rasa tidak banyak yang diperlukan untuk beliau hadapi kes tersebut, melainkan bila ada perbicaraan,” katanya.
Mohamad berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sepang di Sepang.
Dalam ucapannya di perhimpunan itu, Mohamad turut menafikan bahawa cadangan untuk meminda perlembagaan Umno bertujuan untuk menyingkirkan Zahid dan juga mantan presiden Umno Najib Razak.
Jelasnya cadangan pindaan sudah lama dibuat sewaktu Hishammuddin Hussein menjadi naib presiden.
Usaha berkenaan kini diteruskan oleh naib presiden baharu Umno, Mohamed Khaled Nordin.
“Zahid melantik Khaled Nordin, bukan saya lantik. Teruskan untuk kita melihat supaya perlembagaan ini diubahsuai.
“Macam orang kata pinda perlembagaan hendak menyingkirkan individu-individu tertentu. Saya tidak ada terfikir langsung,” katanya.
Oleh itu, Umno memerlukan masa lebih lama untuk membincangkan cadangan pindaan tersebut untuk mengelakkan fitnah.
“Saya cakap tidak cukup dua jam untuk berbahas pindaan tersebut. Elok kita tangguh, kita buat satu hari pemukiman MT membincangkan tentang pindaan perlembagaan, itu sahaja.
Terdahulu hari ini, Zahid mengumumkan menamatkan tempoh cuti dan kembali menjalankan tugasnya sebagai presiden Umno berkuatkuasa serta merta.
Minggu ini, Zahid dihadapkan dengan 40 pertuduhan jenayah rasuah tambahan menjadikan keseluruhannya 87 kes termasuk melibatkan pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Beberapa kesnya akan mula dibicarakan bermula 18 November ini.
Zahid menyerahkan tugas kepada Mohamad pada 18 Disember lalu dengan alasan memenuhi harapan ahli parti yang mahu pimpinan menterjemah hala tuju sesuai dengan slogan baharu “Umno bangkit’.
Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan tindakan Zahid itu tidak wajar.
Kata Tengku Razaleigh, tugas presiden Umno tiada cuti.
Mei lalu, The Malaysian Insight melaporkan wujud pihak yang mula mencaturkan barisan kepimpinan Umno untuk pemilihan akan datang.
Pemilihan Umno akan datang dijadualkan pada 2021, sekiranya tiada sebarang penangguhan seperti kelaziman dibuat menjelang pilihan raya umum. Pilihan Raya Umum ke-15 perlu diadakan sebelum Julai 2023.
“Tidak pasti siapa dalang yang buat sama ada orang dalam atau luar tetapi sudah ada ‘cai’ (senarai bayangan barisan pemimpin) yang tersebar.
“Ini semua hendak melagakan-lagakan pemimpin Umno dan mahu melihat parti kembali lemah dan hilang fokus,” kata sumber.
Sementara itu, senarai bayangan “Team Tok Mat” turut beredar. Ia membariskan Mohamad sebagai presiden Umno dan Mohamed Khaled Nordin sebagai timbalannya, diikuti tiga calon naib presiden iaitu Asyraf Wajdi Dusuki, Johari Abdul Ghani dan Abdul Rahman Dahlan.
Senarai barisan bayangan ini turut dibincangkan oleh ahli-ahli Umno secara terbuka di media sosial. – 30 Jun, 2019.
Komen