Patuhi peraturan, perokok jangan cabar kerajaan kuatkuasa undang-undang 


Nabihah Hamid

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefli meminta masyarakat terutamanya perokok tegar mematuhi larangan merokok di premis makanan meskipun ia hanya akan dikuatkuasakan tahun depan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Jun, 2019.

MENTERI Kesihatan Dr Dzulkefli meminta masyarakat terutamanya perokok tegar mematuhi larangan merokok di premis makanan meskipun ia hanya akan dikuatkuasakan tahun depan. 

Katanya, perokok perlu menghormati orang lain terutamanya wanita dan kanak-kanak agar tidak terdedah dengan kesan asap rokok yang membahayakan kesihatan.

“Yang extreme (perokok tegar) ini memang sentiasa ada orang sebegitu. Saya mahu orang percaya mereka tidak seharusnya melanggar peraturan. 

“Yang lebih baik adalah jika masyarakat menghormati undang-undang dan peraturan tetapi jika mereka sangat degil mahu langgar dan cabar dan kita tiada pilihan untuk kuatkuasa undang-undang. Hormati undang-undang.

“Terutamanya orang tua, wanita dan kanak-kanak,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2019 di Universiti Putra Malaysia (UPM). 

Beliau menjawab pertanyaan wartawan mengenai sikap segelintir perokok yang tidak menghiraukan larangan merokok di premis makanan. 

Ahli Parlimen Selangor sebelum itu merasmikan Konvesyen Kesedaran Persekitaran Bebas Amalan Merokok Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2019.

Menurut statistik kementerian dari 31 Disember 2018 hingga 25 mei 2019, Dr Dzulkefli mendedahkan sebanyak 111,042 premis telah diperiksa samada mereka meletakkan tanda larangan merokok. 

Dari jumlah itu sebanyak 29,650 notis amaran tiada tanda larangan merokok dicatatkan. 

Manakala jumlah aduan melalui aplikasi whatapps yang direkodkan pula adalah sebanyak 15,552. 

Tindakan hukuman ke atas pelanggaran larangan merokok di tempat makan awam hanya akan dikuatkuasa 1 Januari 2020. 

Kini kerajaan memberikan tempoh enam bulan pertama ini untuk mendidik perokok agar mematuhi larangan tersebut. 

Perokok hanya dibenarkan merokok pada jarak tiga meter dari premis terbabit.

Individu yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan denda RM10,000 atau dua tahun penjara.

Pemilik premis yang membenarkan pelanggar merokok pula akan dikenakan denda tidak lebih RM2,500. – 27 Jun, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen