Rakyat Syria sehelai sepinggang kerana perang


Berpuluh-puluh keluarga Syria terkandas di kebun-kebun zaitun di sepanjang sempadan Turki. Untuk meneruskan hidup, mereka terpaksa menjual harta benda. – Gambar AFP, 25 Jun, 2019.

SELAMA bertahun-tahun, Abu Ali berniaga perabot terpakai dan kelengkapan rumah untuk menampung hidup dan tidak menyangka perang di Syria menyebabkannya hilang tempat tinggal.

Keluarga Abu Ali antara berpuluh-puluh keluarga yang terkandas di kebun-kebun zaitun di sepanjang sempadan Turki. Untuk meneruskan hidup, mereka terpaksa menjual harta benda.

“Saya terpaksa jual untuk beli makanan, minuman dan pakaian anak-anak saya,” kata bapa berusia 35 tahun dan mempunyai lima anak itu. Mereka sekeluarga tinggal di sebuah pondok.

Sebuah kubu pembangkang di barat laut Syria dibom sejak April, meskipun perjanjian gencatan senjata dilaksanakan untuk melindungi tiga juta penduduk.

Keganasan yang meningkat di Idlib dan kawasan sekitarnya menyebabkan beratus orang awam terbunuh, manakala 330,000 hilang tempat tinggal. Malah perang saudara yang berlanjutan selama lapan tahun itu dibimbangi akan mencetus bencana kemanusiaan terburuk.

“Saya pernah ada kedai menjual barangan terpakai seperti peti sejuk dan perabot di kampung Maaret Hurma,” katanya.

Antara barangan elektrik dan perabot di dalam salah sebuah khemah sementara di kebun zaitun di Idlib. – Gambar AFP, 25 Jun, 2019.

Beberapa hari selepas melarikan diri dari kampungnya, dia membayar 50,000 pound Syria untuk menyewa dua buah lori yang digunakan untuk membawa lapan peti sejuk, parabot bilik tidur, tujuh mesin basuh dan beberapa dapur gas ke kebun zaitun.

Tetapi apabila diletakkan di dalam khemas sementara, ditambah pula cuaca yang panas terik akan menyebabkan semua barangan ini susut nilai.

“Saya dipaksa supaya buang barang-barang ini atau jual pada harga yang sangat murah,” kata Abu Ali.

Contohnya, jika sebuah peti sejuk pada asalnya dibeli pada harga 25,000 pound Syria, harganya kini mungkin boleh menjunam lebih separuh daripada itu.

Bagi Awad Abu Abdu, 35, dia juga terpaksa menjual kelengkapan rumahnya untuk menyara keluarga.

“Semuanya saya sayang. Semuanya saya kumpul selepas susah payah bekerja,” kata bekas pekerja binaan itu. Awad melarikan diri dari kampungnya di Tramla bersama isteri dan enam anaknya.

“Saya jual semua perabot untuk hanya 50,000 pound Syria.”

Selepas ditolak kos pengangkutan, hanya separuh sahaja daripada jumlah itu yang tinggal untuk menyara keluarganya.

“Semua barang sangat mahal… tiada satu pun organisasi yang datang cari kami,” kata Awad.

Wilayah Idlib sepatutnya dilindungi oleh perjanjian zon penampan yang ditandatangani oleh Russia dan Turki yang menyokong pemberontak pada September.

Tetapi perjanjian itu tidak dilaksanakan sepenuhnya kerana pemberontak enggan berundur dari zon penampan yang dicadangkan. – AFP, 25 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen