SETIAUSAHA Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin agar menghormati keputusan parti berkenaan kedudukan Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Saifuddin berkata ini kerana Zuraida sendiri hadir dalam mesyuarat tersebut yang memutuskan untuk tidak memecat Haziq berikutan dakwaan penularan video homoseksual yang didakwa membabitkan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.
“Keputusan itu kolektif, lebih baik dan lebih molek dihormati keputusan yang dibuat secara kolektif, kalau perkara itu berbangkit ia akan dibincangkan dalam mesyuarat (biro politik PKR).
“Satu disiplin membuat keputusan, yang diikuti saudari Zuraida sendiri. Ia dibentangkan, dibahas, apa kelebihan dan kekurangannya, akhirnya dipersetujui bersama.
“Adalah lebih baik keputusan itu dihormati sebab kita adalah pihak yang ikut sama buat keputusan,” kata menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di Putrajaya, hari ini.
“Seperti mana mesyuarat biro politik yang lepas, beliau ikut hadir dan keputusan lembaga disiplin itu dibincangkan dan beliau ambil bahagian sama-sama,” kata Saifuddin.
Zuraida dalam kenyataannya semalam tetap menggesa Haziq dipecat daripada jawatan parti susulan pengakuannya mengenai video seks sejenis tersebut.
Ahli Parlimen Ampang yang diketahui umum menyokong Azmin berkata Haziq sudah pasti akan dipecat jika beliau presiden parti.
“Nasib baik bukan saya jadi presiden, kalau saya presiden saya dah pecat dah (Haziq).
“Sebab saya memang tegas kata suruh pecat (Haziq), tapi parti nak ikut proses, biarlah dia ikut proses,” katanya.
Naib Ketua Wanita PKR Faizah Ariffin kemudian menyelar Zuraida kerana mengeluarkan kenyataan bercanggah daripada yang dipersetujui parti.
“Sebagai pemimpin, beliau seharusnya mempertahankan keputusan parti,” kata Faizah.
Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata tiada tindakan akan diambil terhadap Haziq dan mengesahkan Azmin terus kekal sebagai naib presiden parti.
Anwar juga berkata parti tidak menyoal Azmin mengenai video itu, malah menyifatkan apa yang berlaku adalah politik kotor.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut berkata Azmin tidak perlu dipecat kerana video tersebut satu cubaan untuk memusnahkan kerjaya politik ahli Parlimen Gombak itu. – 25 Jun, 2019.
Komen