Zuraida tetap mahu Haziq dipecat


Naib Presiden PKR Zuraida berkata, Ketua Pemuda Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz sudah pasti dipecat jika beliau presiden parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2019.

NAIB Presiden PKR Zuraida Kamaruddin sekali lagi menggesa Ketua Pemuda Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz dipecat susulan pengakuannya mengenai video seks membabitkan Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali.

Zuraidah berkata, Haziq sudah pasti dipecat jika beliau presiden parti.

“Nasib baik bukan saya jadi presiden, kalau saya presiden saya dah pecat dah (Haziq).

“Sebab saya memang tegas kata suruh pecat (Haziq), tapi parti nak ikut proses, biarlah dia ikut proses,” katanya, seperti dipetik Malaysiakini.

Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Jalinan Mesra Menteri KPKT bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Putrajaya, hari ini.

Beliau pada minggu lepas mendesak pimpinan parti supaya memecat Haziq.

Ahli Parlimen Ampang itu mempersoalkan keputusan parti tidak memecat ketua Pemuda Santubong itu dan berkata pengakuannya secara terbuka itu sudah mencukupi.

Zuraida yang diketahui umum menyokong Azmin berkata Haziq tidak boleh dibandingkan dengan menteri hal ehwal ekonomi itu yang menafi dan membuat laporan polis mengenai video tersebut.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata tiada tindakan akan diambil terhadap Haziq dan mengesahkan Azmin terus kekal sebagai naib presiden parti.

Anwar juga berkata parti tidak menyoal Azmin mengenai video itu, malah menyifatkan apa yang berlaku adalah politik kotor.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut berkata Azmin tidak perlu dipecat kerana video tersebut satu cubaan untuk memusnahkan kerjaya politik ahli Parlimen Gombak itu. – 24 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen