Pendakwaan tamatkan episod luka keluarga, kata pengetua


Pengetua pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Mohd Zahid Mahmood berkata pendakwaan suspek yang membakar sekolah itu akan menamatkan episod duka di hati keluarga mangsa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2017.

PENDAKWAAN suspek yang menyebabkan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terbakar di mahkamah hari ini, akan menamatkan episod duka di hati keluarga mangsa dan pengurusan sekolah, kata pengetua Mohd Zahid Mahmood.

Zahid berkata beliau bersyukur suspek terbabit akan didakwa, tetapi tidak akan hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

“Apa saja keputusan dibuat mahkamah adalah paling sempurna di dunia manakala di akhirat lain perhitungan Allah,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro Online.

“Saya tiada rasa ke sana (mahkamah), fokus saya mahu membina semula tahfiz dan membina jati diri pelajar dan pengajar selepas tragedi ini.”

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh berkata, dua daripada tujuh suspek kes bakar pusat tahfiz akan didakwa di mahkamah hari ini atas tuduhan membunuh manakala enam lagi akan dituduh bersabit kesalahan melibatkan dadah.

Zahid berkata beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menghukum suspek dalam kejadian pada 14 September lalu sehingga mengorbankan 21 pelajar dan dua guru warden asrama.

“Kami serahkan kepada pihak berkuasa menentukan hukuman buat mereka, saya tiada apa-apa komen atau saranan kerana percaya negara ini termaktub kepada undang-undang.

“Apa yang berlaku ke atas mereka ditetapkan Allah, mereka perlu hadapi hukuman dunia atas apa yang mereka lakukan,” katanya dipetik daripada Harian Metro Online.

Menurut laporan itu, Zahid enggan mengulas sama ada beliau memaafkan atau tidak suspek yang menyebabkan pusat tahfiz dipimpinnya terbakar dan menyerahkan saja kepada undang-undang.

“Secara peribadi, isu maaf tidak timbul kerana mereka melakukan kesalahan dan pertuduhan dilakukan. Kita tunggu dan lihat saja.”

Polis awal minggu ini membawa seorang daripada tujuh suspek ke pusat tahfiz berkenaan untuk melengkapkan siasatan.

Siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca daripada insiden ejek-mengejek antara suspek dan pelajar pusat tahfiz berkenaan dan tindakan mereka membakar bangunan asrama itu dipercayai bermotifkan dendam.

Peguam Negara Apandi Ali sebelum ini menjelaskan tertuduh bawah umur yang didakwa membunuh tidak akan menjalani hukuman mati, sekiranya sabit kesalahan, kerana mereka dilindungi oleh Akta Kanak-kanak 2001. – 28 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen