HAZIQ Abdullah Abdul Aziz, lelaki yang mendakwa melakukan hubungan songsang dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, sudah memutuskan hubungan dengan keluarga, kata bapanya.
Abdul Aziz Ibrahim ketika dihubungi memberitahu The Malaysian Insight tiada ahli keluarganya di Kuching, Sarawak dapat menghubungi Haziq sejak 11 Jun lalu, sehari sebelum video intimnya tersebar dalam aplikasi WhatsApp.
Beliau berkata pergolakan, kemarahan dan persoalan yang menyelubungi keseluruhan isu itu turut menyebabkan ibu Haziq jatuh sakit.
“Kami tidak berhubung dengan anak kami sejak itu. Kami juga tidak tahu di mana dia berada.
“Kami hanya mendengar berita daripada (pelbagai) media,” kata lelaki berusia 53 tahun itu sambil menambah Haziq sendiri langsung tidak memberitahu apa-apa kepada keluarganya.
Aziz berkata mereka hanya mampu berharap untuk mendengar khabar berita daripada anak lelakinya itu secepat mungkin.
Pada minggu lepas, Haziq dipecat sebagai setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin kerana mengaku sebagai individu dalam klip video seks yang didakwanya bersama Azmin.
Selepas video itu tersebar, Haziq membuat pengakuan di media sosial dan menggesa Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat Azmin yang didakwanya tidak layak menjadi pemimpin.
Azmin menafikan tuduhan tersebut dan membuat laporan polis terhadap Haziq.
Haziq yang juga ketua Pemuda PKR Santubong, kemudiannya mencabar Azmin untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
Peguam Azmin, N. Surendran bagaimanapun berkata menteri itu tidak akan bertindak balas terhadap ejekan oleh Haziq.
“Semua maklum balas undang-undang dilakukan seperti yang sepatutnya, mengikut jadual kami dan tidak didesak oleh orang lain,” katanya.
Kali terakhir Aziz mendengar khabar daripada Haziq adalah pada 1 Jun apabila beliau memberitahu ayahnya mengenai lawatan ke Paris bersama Shamsul.
Namun sejak itu, tiada khabar diterima daripada Haziq, kata Aziz.
Ditanya sama ada Haziq memutuskan hubungan dengan keluarga kerana malu untuk berdepan dengan mereka, Aziz berkata beliau tidak tahu.
“Saya juga ada soalan sama seperti kamu. (Saya tidak tahu) kerana kami tidak berhubung dengannya.”
Aziz yang enggan memanjangkan perbualan, kini tinggal bersama keluarga di rumah ayahnya di sebuah kampung Melayu di bahagian lain bandar di Kuching bagi mengelakkan malu dan publisiti.
Keluarga itu berpindah sementara dari rumah mereka di Petra Jaya bagi mengelak ditanya jiran tentang isu tersebut.
“Saya tidak bersedia. Isteri saya juga tidak sihat,” katanya sambil meminta maaf kerana terpaksa menghentikan perbualan.
Haziq ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 14 Jun ketika mahu menaiki penerbangan ke Manila, tetapi kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.
Dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight baru-baru ini, Haziq berkata beliau bukan cuba melarikan diri ke Filipina tetapi mahu berehat sementara kerana terlalu tertekan.
Beliau turut menafikan dibayar untuk membuat pengakuan mempunyai hubungan dengan Azmin. – 24 Jun, 2019.
Komen