PEGUAM Azmin Ali berkata, mereka tidak akan bertindak balas terhadap ejekan oleh Haziq Abdullah Abdul Aziz berhubung tindakan undang-undang yang mungkin diambil atau tidak diambil terhadap pemuda 27 tahun berkenaan.
N Surendran menerusi laman Twitternya berkata, mereka tidak akan bertindak atau memberi respons terhadap ejeken “menarik perhatian” itu.
“Semua maklum balas undang-undang dilakukan seperti yang sepatutnya, mengikut jadual kami dan tidak didesak oleh orang lain,” tulisnya di Twitter.
Surendran memberi respons terhadap kenyataan Haziq yang mencabar Azmin untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya jika isu klip video dan dakwaan hubungan sejenis adalah fitnah.
Ketua Pemuda PKR Santubong yang mengaku sebagai lelaki dalam rakaman video seks dengan Azmin mengatakan bahawa timbalan presiden PKR itu tidak pernah membuat laporan polis terhadapnya walaupun setiausaha politiknya Muhammad Hilman Idham berbuat demikian.
“Saya bukan pembohong. Saya mahu perkara itu dibawa secara terbuka di mahkamah agar rakyat Malaysia dapat melihat sendiri bukti itu.
“Rakyat Malaysia akan dapat melihat siapa yang mengatakan kebenaran,” kata Haziq kepada akhbar The Star dalam temubual terbaharu hari ini.
Haziq yang merupakan bekas setiausaha sulit kanan Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin memberitahu Azmin telah membuat tuduhan salah terhadapnya.
“Malah, saya menjadi mangsa keadaan. Jika saya memfitnahnya, dia ada hak untuk saman saya di mahkamah,” katanya kepada The Star.
Azmin menafikan terlibat dalam rakaman video seks itu dan mendakwa menjadi mangsa fitnah.
“Video itu adalah komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politik saya,” katanya.
Beliau juga mendakwa hanya mengenali Haziq dari jauh dan menafikan laporan bahawa kedua-dua mereka rapat.
Bagaimanapun Haziq memberitahu The Malaysian Insight dalam satu temubual minggu lalu bahawa dia mengenali Azmin ketika belajar di Universiti Malaya dan rapat dengan ahli politik itu sejak 2014.
“Saya mula mengenali Azmin sejak belajar di Universiti Malaya. Saya juga membantunya dalam kempen pilihan raya,” katanya.
Haziq juga menafikan dia dibayar untuk membuat tuduhan terhadap Azmin dan cuba melarikan diri apabila ditahan oleh polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur minggu lepas. – 23 Jun, 2019.
Komen