UMNO tidak akan terlibat dengan pergolakan kem dalam Pakatan Harapan susulan tersebarnya rakaman seks dua lelaki yang mengaitkan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, kata Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.
Katanya, Pemuda Umno konsisten dengan pendirian yang dibuat dalam Perhimpunan Agung Umno lalu, menolak sebarang rundingan pintu belakang untuk membentuk kerajaan sama ada dengan kem Dr Mahathir Mohamad mahupun Anwar Ibrahim.
“Pendirian Pemuda Umno jelas, kita tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana kem yang pada hari ini sedang bergolak dalam kerajaan, sama ada kem Dr. Mahathir atau Anwar.
“Rakyat telah menghukum Umno dan BN dalam pilihan raya umum yang lalu.
“Kita dalam proses untuk bangkit kembali dengan satu perubahan yang positif berasaskan apa yang rakyat kehendaki,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Pemuda Umno di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur, hari ini.
Jelas Asyraf, beliau mengingatkan Pergerakan Pemuda Umno supaya tidak melayan isu seumpama itu sebaliknya fokus pada isu membela rakyat terutamanya soal ekonomi dan kos sara hidup.
“Setiap Exco Pemuda akan diberikan portfolio mengikut kementerian dan akan memantau serta mendedahkan kepada rakyat apa sahaja kepincangan yang berlaku dalam kementerian tersebut.
“Mereka juga akan memberikan pandangan yang membina berdasarkan pengalaman Umno mentadbir kerajaan sebelum ini,” ujarnya.
Asyraf berkata demikian sebagai mengulas penyebaran rakaman seks dua lelaki yang didakwa oleh oleh Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz melibatkan Azmin.
Dalam kenyataan awalnya sebelum ini, beliau merayu orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman video perlakuan seks yang didakwa lelaki mirip seorang menteri “supaya tidak menjadi dosa”.
Pandangannya ketika itu bagaimanapun dikritik oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan kemudian mengeluarkan satu kenyataan menggesa ahli Umno tidak masuk campur dalam isu rakaman seks dua lelaki itu.
Haziq sebelum ini mengaku beliau salah seorang lelaki dalam rakaman seks itu dan mendakwa sudah berhubungan intim dengan Azmin sejak tiga tahun lalu.
Menurut Asyraf, penyebaran rakaman seks itu memberikan gambaran seolah-olah budaya politik di Malaysia begitu hodoh.
Umno sebelum ini terkait dengan isu kem antara Dr Mahathir dan Anwar. Rundingan pintu belakang dalam usaha membentuk kerajaan tanpa menunggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum ini menyebabkan Umno berpecah kepada beberapa kumpulan.
Pada Disember lalu, Setiausaha Agung Barisan Nasional ketika itu Nazri Aziz dilaporkan membuat jelajah bertemu pimpinan Umno di peringkat bahagian bagi mendapatkan sokongan mendukung Anwar sebagai perdana menteri ke-8.
Nazri yang mendakwa mendapat mandat presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menerangkan strategi Umno menyokong Anwar dan membentuk kerajaan baharu bersama PKR dan DAP.
Tindakan tersebut mendapat tentangan majoriti ahli parti. Mereka kemudian mendesak Zahid letak jawatan. Pada pertengahan Disember lalu, Zahid mengambil keputusan bercuti dan menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya Mohamad Hasan. – 20 Jun, 2019
Komen