Dam dam dum bunyi mercun


Badrul A Bakar

LAGU Selamat Hari Raya (versi tahun 1973) dendangan biduanita negara Saloma sering berada di tangga teratas sebarang carta lagu raya oleh mana-mana stesen radio di Malaysia.

Setakat ini tiada lagu raya lain yang dapat menandingi populariti dan pengaruh lagu tersebut.

Irama, lirik, sususan muzik dan alunan vokal mezzo-soprano Saloma sangat kena dengan suasana di hari raya yang penuh kemeriahan.

Pendek kata, hari raya boleh bertukar menjadi hari biasa yang penuh gundah gulana jika lagu tersebut gagal berkumandang.

Namun, lagu yang kita dengari saban tahun pada Aidilfitri itu adalah versi cacat.

Ini kerana ia dikerat oleh pihak syarikat rakaman yang akur dengan Kementerian Penerangan ketika itu Mohammad Rahmat.

Versi tersebut tidak mengandungi rangkap “dam dam dum bunyi mercun.” Namun, panjangnya masih sama seperti versi asal kerana lirik yang berulang.

Mereka yang berusia 40 tahun ke atas pasti lebih menggemari versi asal dan hampa dengan tindakan modifikasi terhadap lagu tersebut.

Ini kerana liriknya menggambarkan realiti hari raya dari dahulu sehingga kini. Mercun dan bunga api memang sinonim dengan Aidilfitri.

Rasa hampa generasi tersebut barangkali sama dengan rasa merengsa golongan rockers 80-an dan 90-an apabila Mohamad mengerat rambut panjang mengerbang Amy Search dan Awie Wings secara langsung di kaca TV dari Auditorium Perdana, Angkasapuri pada tahun 1992.

Sampai ke hari ini, diri ini tidak dapat menerima justifikasi kerajaan memotong rambut dua frontmen dari dua buah kumpulan rock paling berpengaruh di Malaysia itu.

Pun begitu, adalah lebih tidak masuk akal apabila pemerintah mencacatkan lagu raya biduanita negara tersebut.

Adakah kebingitan mercun dan percikan apinya boleh menyebabkan kejutan seperti mana terkejutnya kita dengan penularan video dari Sandakan yang terakam dalam bulan Ramadan?

Apakah tahap kejutannya sama seperti kita yang menyangkakan Malaysia Baharu adalah era politik bersih yang bebas daripada character assassination?

Kononnya, lirik dam dam dum bunyi mercun bukan sahaja mempengaruhi golongan remaja dan kanak-kanak untuk bermain mercun bahkan merangsang minda mereka untuk menghasilkan mercun buatan sendiri.

Ingatkah lagi dengan meriam buluh dan meriam paip yang selalunya melibatkan penyalahgunaan kabaid (kalsium karbida)?

Alasannya adalah kerana keselamatan remaja dan kanak-kanak yang berhadapan dengan risiko jari putus, mata buta dan muka melecur. Tetapi mengapakah lagu raya pula yang menjadi mangsa?

Berhantu sangatkah lagu tersebut sampai mampu merasuk pendengarnya sampai gila bermain mercun?

Tiada cara lain lagikah yang boleh dilakukan untuk menyedarkan golongan muda tentang bahaya bermain dan mencipta mercun?

Dari sisi politik, tindakan mengerat lagu dan memotong rambut itu menunjukkan kegemaran pemerintah menggunakan autoriti untuk menangani sesebuah fenomena.

Walhal terdapat banyak pilihan lain yang lebih demokratik seperti kempen, diskusi, konsultasi, dan dialog.

Jika dalam hal begitu pun mereka menggunakan pendekatan kuasa (hukum), apalagi dalam menangani oposisi dan ketidakakuran sivil.

Kerana itulah kerajaan Barisan Nasional di era kepimpinan Mahathir 1.0 dinyatakan sebagai kerajaan autoritarian.

Sarjana dan media, sama ada lokal atau internasional, menggelar pemerintahan Malaysia pada era tersebut sebagai strong government dan ketua kerajaannya sebagai strongman.

Dr Mahathir Mohamad tidak bersendirian kerana pada waktu itu memang era the strongmen of Asia. Dalam senarainya ialah Lee Kuan Yew di Singapura, Suharto di Indonesia, Ferdinand Marcos di Filipina, dan Chun Doo Hwan di Korea Selatan.

Mereka menggunakan autoriti untuk meregulasi pelbagai bidang yang merangkumi ekonomi, politik, pentadbiran awam, dan sehinggalah hiburan sampaikan rakyat tertekan ekoran respresifnya pemerintahan.

Pun begitu, wujud kerajaan yang jauh lebih menekan. Kerajaan sebegini adalah kerajaan yang menguasai setiap warga, benda, dan perkara dalam sempadan negaranya.

Pemerintah totalitarian campur tangan dalam segalanya, hatta menentukan jumlah anak dalam keluarga yang merupakan suatu pencerobohan ruang peribadi warganegara.

Pada masa kini, hanya Republik Rakyat China dan Republik Demokratik Rakyat Korea sahaja yang masih bertahan sebagai rejim totalitarian.

Sebelum kejatuhan komunisme pada hujung 80-an dan pada awal 90-an, ia merangkumi Kesatuan Soviet, Jerman Timur, Romania dan lain-lain negara tirai besi di Eropah Timur.   

Perkembangan menarik di Malaysia, pada era Mahathir 2.0 muncul pula reverse wave nyah-pendemokrasian yang cuba membawa kembali autoritarian yang diserikan dengan politik perkauman.

Ini berlaku ketika rakyat baru saja mengecapi nikmat demokrasi seperti kebebasan bersuara, berekspresi dan pemerintahan yang semakin menghormati ruang peribadi rakyat.

Begitulah, semasa negara berstatus separa demokrasi kita menuntut pendemokrasian, tetapi apabila negara semakin demokratik, kita cuba mengundur ke belakang.

Adakah kita mahu Dr Mahathir yang demokrat kembali menjadi seorang autokrat?

Adakah kita mahu golongan teokrat pula berkuasa setelah berpengalaman berada di bawah pentadbiran kleptokrat? – 18 Jun, 2019.

* Dr Badrul A Bakar atau Dr Bae ialah pensyarah sains politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM. Beliau percaya pada demokrasi dan pendemokrasian, atas pengalaman hidup dalam persekitaran demokratik semasa belajar dan bekerja di Amerika Syarikat sewaktu pentadbiran Clinton.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen