Mat Hasan nafi Jemaah Penasihat tiada peranan dalam Umno


SM Amin

Jemaah Penasihat masih mempunyai peranan dalam isu-isu tertentu seperti pindaan Perlembagaan Umno yang akan dibentang dalam Mesyuarat Agung Khas November depan, kata Mohamad Hasan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Jun, 2019.

DAKWAAN Umno masih lagi tiada hala tuju hanya pandangan peribadi veteran parti Tengku Razaleigh Hamzah, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan. 

Mohamad yang kini menjalankan tugas presiden berkata beliau telah memperincikan hala tuju parti iaitu mengukuhkan semula parti selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan persediaan menghadapi PRU15. 

“Haja tuju Umno saya dah terangkan untuk memperkasakan parti dan menyusun strategi untuk menang PRU15. 

“Kalau beliau kata tidak ada hala tuju, itu pandangan beliau,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri beliau di Kg Tanjung di Rantau, Negeri Sembilan, hari ini. 

Tengku Razaleigh dalam wawancara dengan The Malaysian Insight baru-baru ini mendakwa parti itu masih tiada hala tuju sehingga beliau tidak dapat memainkan peranan sebagai pengerusi Jemaah Penasihat Umno. 

Malah kata Tengku Razalaeigh, beliau juga tidak pernah dipanggil untuk memberi pandangan dan khidmat nasihat mengenai perjalanan parti. 

Menurut Mohamad, Jemaah Penasihat masih mempunyai peranan dalam isu-isu tertentu seperti pindaan Perlembagaan Umno yang akan dibentang dalam Mesyuarat Agung Khas November depan. 

“Ada ketikanya kita minta nasihat, dan ada ketikanya tidak perlu minta nasihat. 

“Kalau perkara macam berkenaan pindaan perlembagaan itu kita akan juga minta pandangan daripada jemaah penasihat. 

“Kita akan berjumpa tetapi tidak secara bermesyuarat,” ujarnya. 

Jemaah Penasihat Umno turut disertai dua bekas presiden parti, Najib Razak dan Abdullah Ahmad Badawi. – 15 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen