SUDAH setahun berlalu sejak Umno digulingkan dalam pilihan raya umum namun parti itu masih tiada hala tuju, kata veteran parti Tengku Razaleigh Hamzah.
Hal itu juga menyebabkan beliau tidak dapat berbuat apa-apa walaupun dilantik menjadi pengerusi Majlis Penasihat Umno sejak Julai lalu, katanya kepada The Malaysian Insight.
“Saya belum buat apa-apa lagi kerana saya tidak tahu apa hala tuju yang mahu ditetapkan oleh pemimpin Umno untuk parti.
“Semua orang bergerak ke arah berbeza dan tiada kepastian ke mana hala tuju parti. Ada yang mahu bekerjasama dengan pembangkang dan yang lain mahu kerjasama dengan kerajaan atau Anwar Ibrahim atau Dr Mahathir Mohamad.
“Saya tiada masalah hendak kerjasama dengan siapa tetapi apa hala tuju parti? Sebab itu, sangat sukar bagi saya dan saya masih belum lantik penasihat lain,” kata Tengku Razaleigh.
Dalam wawancara itu, Tengku Razaleigh yang menjadi ahli Parlimen Gua Musang untuk penggal ke-12 itu berkata, beliau bagaimanapun melihat Umno masih mempunyai masa depan cerah.
“Saya fikir Umno ada masa depan yang besar kerana populasi orang Melayu berkembang pesat. Menjelang 2025 jumlahnya akan menjadi 70% atau lebih.
“Apabila mereka berjumlah 70% atau lebih mereka akan menuntut banyak perkara. Jadi, jika Umno kuat ia boleh menangani masalah ini,” kata Tengku Razaleigh.
Berikut petikan wawancara tersebut:
S: Apa peranan Tengku sebagai pengerusi Majlis Penasihat Umno?
Saya belum buat apa-apa lagi kerana saya tidak tahu apakah hala tuju yang mahu ditetapkan oleh pemimpin Umno untuk parti.
Semua orang bergerak mengikut hala tuju berbeza. Dan tiada kepastian ke mana hala yang patut dituju oleh parti. Ada yang mahu kerjasama dengan pembangkang dan yang lain mahu kerjasama dengan kerajaan atau Anwar Ibrahim atau Dr Mahathir Mohamad.
Saya tiada masalah dengan siapa mereka mahu kerjasama tetapi apa hala tuju parti? Sebab itu, sukar bagi saya dan saya masih belum melantik penasihat lain.

S: Adakah pemimpin lain meminta sebarang nasihat?
Tiada.
S: Apa punca masalahnya kerana presiden baharu (Ahmad Zahid Hamidi) sudah berada di jawatan itu sejak setahun?
Masalahnya adalah pemikiran. Sebagai presiden, beliau bercuti.
S: Adakah masalahnya kerana tiada presiden?
Tidak, saya fikir ia adalah kepemimpinan. Sukar apabila kita tidak lagi disukai pengunsi dan kita kehilangan kuasa. Kita hilang segala-galanya. Nampaknya kita keliru. Itulah pandangan orang terhadap pemimpin ini. Namun akar umbi masih kuat dan Bersatu tidak boleh memujuk mereka lompat parti.
S: Apa yang perlu dilakukan oleh majlis tertinggi?
Saya tidak tahu siapa mereka. Sekurang-kurangnya, anda tahu pemimpin Umno sebelum ini ada jati diri dan komitmen dan sedia berkorban.
Ia adalah perjuangan besar bagi kesemuanya. Tunku Abdul Rahman mengorbankan hartanahnya untuk membiaya perjalanan Umno. Tun Abdul Razak mengorbankan kerjanya dan pulang untuk bekerja untuk parti dan dakyat? Tapi apa yang kita ada sekarang?
Semua orang hanya mahu mempertahankan RM100 juta, RM200 juta. Itu bukan perjuangan.
S: Apakah beza kerjasama dengan PAS pada masa ini berbanding pada tahun 1970-an?
Kita ada kuasa, kedudukan dan pengaruh pada masa itu dan keadaannya juga berbeza. Budaya juga berbeza.
Sebab itu, saya mahu tanya sama ada kerjasama dengan PAS ini atas dasar ideologi atau hanya untuk menang pilihan raya.
Kita berjuang demi matlamat tetapi pilihan raya hanyalah produk sampingan. Sepatutnya kita tumpukan perjuangan. Tidak penting jika kita menang atau kalah pilihan raya.
Tentulah kita mahukan kuasa tetapi kita boleh kukuhkan kuasa melalui perjuangan yang kita mesti terima.
S: Adakah persoalan mengenai hala tuju ini dibincangkan dalam Umno? Apa punca masalah tersebut?
Ada perbincangan tetapi tidak jelas apa yang mereka mahu.
Saya bimbang mereka tidak berfikir semasaknya. Mereka perlu fikir apa yang baik untuk negara, apa yang baik untuk orang yang dipimpin, iaitu orang Melayu.

S: Kenapa perkara ini tidak dibincangkan?
Mungkin mereka sibuk dengan perkara lain seperti masalah peribadi. Saya tidak tahu.
Jika bercakap mengenai masalah peribadi, presiden itu menghadapi banyak tuduhan. Ini bukan tuduhan biasa (kerana) boleh dipenjara.
S: Umno masih ada masa depan?
Suka atau tidak, Umno ada masa depan yang hebat. Negara ini sentiasa ingin melihat (walau setengah orang tidak setuju), bumiputera – atau orang Melayu – patut dilindungi selari dengan aspirasi negara itu adalah negara mereka.
Negara ini dipanggil Tanah Melayu dan bukan Tanah Cina atau Tanah India. Orang Inggeris menukar namanya menjadi Malaya seperti mereka menukar nama Mesir menjadi Egypt.
Tiada salahnya dalam hal itu.
Saya fikir Umno ada masa depan yang besar kerana populasi orang Melayu berkembang pesat. Menjelang 2025, akan ada 70% atau lebih (orang Melayu).
Saya tidak kata (populasi) orang Cina tidak patut berkembang tetapi mereka cerdik dan mahu membina keluarga yang kecil supaya mudah dijaga dengan baik dari segi pendidikan dan sebagainya. Ia baik untuk negara tetapi tidak bagi populasi masyarakat Cina.
Orang Melayu tinggal di luar bandar dan tidak begitu terdedah dan mereka beranak-pinak semahunya. Oleh itu anda akan lihat letupan populasi ini. Tiada siapa patut dipersalahkan tetapi itulah yang berlaku.
Orang Melayu akan menjadi masalah kepada negara kerana mereka akan membentuk 70% lebih dan akan menuntut banyak perkara. Jadi, jika Umno kuat ia akan dapat menangai masalah ini.
Apabila mereka menghadapi masalah dari kaum sendiri, mereka tidak akan berdepan orang Cina atau bangsa lain tetapi perlu menyelesaikan masalah ini jika tidak mahu dihumban keluar.
Saya fikir Umno akan menjadi lebih relevan di masa hadapan tetapi Umno perlu menjadi kuat supaya boleh memberitahu orang Melayu apa yang mereka akan atau patut dapat, tidak lebih dari itu. Dan kitta akan menjaga hak minoriti. Kita perlukan Umno yang kuat.

S: Apa nasihat Tengku untuk Umno?
Seperti apa yang Tunku (Abdul Rahman) sering katakan. Umno perlu prihatin dengan kepentingan orang lain dan menjaga sensitiviti mereka. Jangan buat apa yang kita tidak mahu orang buat pada kita.
Itulah secara ringkas apa yang Tunku sering katakan dan ia adalah falsafah yang baik supaya kita dapak hidup bersama. Banyak perkara yang kita boleh kongsikan kerana negara ini sangat kaya.
Inilah perkara yang saya pelajari apabila saya memulakan Petronas. Kebanyakan daripada wang ini Petronas perolehi daripada penerokaan di luar negara. Bukan dari Sarawak atau Terengganu, yang hanya sedikit, tapi dari Sudan, Iran dan sebagainya.
Sebahagian besar RM90 bilion hasil Petronas datang dari luar negara. – 7 Jun, 2019
Komen