Penyebaran rakaman seks masalah dalaman PH dan PKR, kata Najib


SM Amin

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, penyebaran rakaman seks yang dikaitkan dengan menteri kabinet Mohamed Azmin Ali adalah masalah dalaman Pakatan Harapan dan PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2019.

PENYEBARAN rakaman seks yang dikaitkan dengan menteri kabinet Mohamed Azmin Ali adalah masalah dalaman Pakatan Harapan dan PKR, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Umno tidak terlibat dan tuduhan terhadap parti itu sesuatu yang mengarut, katanya.

“Mereka (PH dan PKR) tahu apa yang sebenarnya. 

“Yang penting sekali adalah soal kebenaran, moral dan etika,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan di Kampung Tanjung di Rantau, Negeri Sembilan hari ini. 

Najib yang juga bekas presiden Umno berkata, parti itu mengambil pendirian untuk tidak campur tangan sama sekali dalam skandal seks tersebut.

“Mengarutlah nak tuduh Umno. Ini bukan kerja kita. 

“Kita Umno ambil sikap, kita tidak terlibat sama sekali,” katanya.

Polis kelmarin menyiasat Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam kerana disyaki antara dalang utama menyebarkan rakaman seks yang dikaitkan dengan Azmin. Lokman menafikan dakwaan itu.

Sejak namanya dikaitkan dengan rakaman seks itu, Azmin menegaskan beliau bukan lelaki dalam video lucah yang tersebar sejak awal minggu ini.

Beliau mendakwa ia satu perancangan jahat untuk memusnahkan masa depan politiknya.

Semalam, polis menahan Haziq Abdullah Abdul Aziz, ahli PKR yang membuat pengakuan mendakwa Azmin berhubungan seks dengannya di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lalu. 

Haziq, 27, yang juga Ketua Pemuda PKR Santubong ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyebaran rakaman seks dua lelaki melalui WhatsApp pada Selasa lalu.

Sehari selepas penyebaran rakaman itu, sepotong video didakwa pengakuan Haziq dimuat naik ke akaun Facebook atas namanya. 

Kenyataan di akaun Facebook sama juga mendedahkan mereka sudah berhubungan beberapa kali sejak tiga tahun lalu.

Haziq kemudian membuat laporan polis mengesahkan pengakuannya.

Haziq ditahan bagi membantu siasatan mengikut Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan hubungan seks di luar tabi’i (Seksyen 377B), menyebar bahan lucah (Seksyen 292), dan mengaibkan dengan niat memecahkan keamanan (Seksyen 504).

Beliau juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Haziq ditahan semasa cuba meninggalkan Malaysia untuk berlepas ke Manila petang semalam di Lapangan Terbang Kuala Lumpur. – 15 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen