Pakatan tetap menang di Selangor walau '3 penjuru', kata pemimpin DAP


Walaupun prestasi kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali tidak sempurna, pengundi yakin dengan kemampuannya memenuhi kehendak dan keperluan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2017.

PAKATAN Harapan (PH) dijangka sekali lagi menang di Selangor walaupun berlaku pertembungan tiga penjuru kerana pengundi di negeri itu praktikal, memilih parti politik yang boleh memenuhi kehendak mereka dan tidak termakan propaganda media arus perdana, kata seorang pemimpin DAP.

Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP Dr Ong Kian Ming berkata, pengundi di Selangor mahukan antaranya urus tadbir baik, program kebajikan disampaikan dengan lebih cekap dan kualiti hidup lebih bagus.

“Prestasi kerajaan negeri Selangor, walaupun tidak sempurna, dirasai dengan positif oleh pengundi di negeri ini melalui pelbagai program kebajikan di bawah payung Inisiatif Peduli Rakyat,” kata ahli Parlimen Serdang itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Ini termasuk kad kesihatan percuma untuk keluarga dan individu berpendapatan rendah, bas percuma di setiap daerah/perbandaran di negeri itu.”

Ong berkata selain itu, pelaburan dan peluang pekerjaan terus bertambah di Selangor dan populariti Menteri Besar Mohamed Azmin Ali terus meningkat, berbeza berbanding Perdana Menteri Najib Razak yang popularitinya terus menjunam turun.

Ong mengulas perkara ini disebabkan kemungkinan besar pertembungan tiga penjuru di seluruh negara antara Barisan Nasional (BN), PH dan PAS termasuk di negeri Selangor.

Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir mengatakan masih ada ruang untuk parti Islam itu bekerjasama dengan PKR di negeri terkaya Malaysia itu.

Menurut Ong, lebih 2 juta pengundi di Selangor tidak berasal dari negeri itu dan kebanyakan mereka berhijrah disebabkan peluang pekerjaan dan pendidikan lebih baik.

“Disebabkan itu, kebanyakan daripada mereka tidak terikat dengan parti politik, mereka bukanlah penyokong tegar BN atau PH.

“Kebanyakan pengundi ini juga mempunyai akses kepada maklumat yang lebih baik termasuk media sosial dan online. Mereka tidak ‘dibasuh’ pemikirannya oleh media arus perdana,” katanya.

Ong berkata, kebanyakan pengundi-pengundi ini juga mempunyai pendapatan lebih tinggi dan pendidikan lebih baik berbanding negeri lain.

Katanya, peningkatan pengundi baru juga lebih tinggi di Selangor berbanding negeri lain.

Menurut Ong, jika dilihat daripada pola pengundian di Selangor dalam pilihan raya umum (PRU) sejak 1990 hingga 2013, sokongan terhadap BN adalah tidak menentu berbanding di negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Perak.

“Contohnya sokongan BN di Selangor meningkat daripada 54.8% (PRU 1990) ke 72.4% (PRU 1995), peningkatan yang besar, disebabkan perkembangan ekonomi pesat awal tahun 1990 an dinikmati negara sehinggalah krisis ekonomi Asia pada 1997.

“Akan tetapi sokongan BN di Selangor jatuh ke 54.8% pada PRU 1999 disebabkan gerakan Reformasi.

“Kemudiannya ia meningkat kepada 62.8% pada 2004 disebabkan ‘tsunami’ Abdullah Ahmad Badawi yang baru mengambil alih kepimpinan negara sebelum jatuh ke 43.3% pada PRU 2008 sekali gus tumbang buat pertama kalinya kepada pembangkang,” katanya.

Ong berkata, sokongan terhadap BN terus menjunam turun menjadi 38.4% pada PRU 2013 dan sekaligus pembangkang menambahkan sokongan mereka di Selangor.

Katanya, tiada rekod prestasi dan kepimpinan BN yang boleh menyebabkan pengundi Selangor menyerahkan negeri itu kepada mereka pada PPRU ke-14 (PRU14) akan datang.

“Ini terutamanya apabila yang terbaik boleh dilakukan BN ialah mengumpulkan tiga bekas menteri besar, salah seorangnya disabitkan bersalah kerana rasuah dan seorang lagi ditangkap kerana membawa banyak wang ke Australia.

Pengerusi BN Selangor Noh Omar sebelum ini mengumumkan akan mendapatkan bantuan tiga bekas menteri besar untuk menawan negeri itu pada PRU14, beberapa hari selepas Muhammad Muhammad Taib kembali menyertai Umno.

Selain Muhammad, Abu Hassan Omar dan Dr Khir Toyo akan turut dilibatkan untuk membantu BN menawan Selangor. – 26 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen