PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan Latheefa Koya dilantik mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai sasaran agensi anti rasuah itu.
Katanya, orang boleh buat apa saja andaian tetapi hakikatnya bekas peguam itu dipilih bukan kerana namanya Latheefa Koya tetapi kerana perwatakannya yang sesuai untuk menerajui agensi itu.
“Mereka boleh tuduh apa saja tetapi saya pilih orang yang layak,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Rumah Peduli Negeri Melaka di Jasin hari ini.
“Kita dapati dia (Latheefa) lurus, yang mengambil kerjanya dengan serius, dan kualiti itu yang tentukan kita pilih dia, bukan kerana dia (Latheefa Koya),” tambahnya.
Dr Mahathir diminta mengulas kenyataan Presiden MCA Wee Ka Siong yang bimbang akan nasib Anwar selepas Latheefa dilantik ke SPRM.
Dalam kenyataan mengulas pelantikan itu, Wee berharap ia bukan satu “konspirasi besar” untuk menyekat Anwar daripada menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
“Saya rasa terganggu kerana Latheefa diketahui selalu menyerang Anwar,” katanya.
Latheefa adalah bekas ahli PKR yang letak jawatan selepas menerima pelantikan ke SPRM minggu lalu.
Beliau dikenali sebagai antara penyokong kuat Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.
Semasa menganggotai PKR, Latheefa lantang mengkritik pemimpin PKR, selalunya melalui sindiran dan kenyataan yang samar-samar di media sosial, termasuk Anwar.
Latheefa menyelar Anwar dengan dakwaan mengamalkan kronisme dan nepotisme dalam pelantikan pemimpin parti negeri selepas pemilihan PKR tahun lalu.
Anak Anwar, Nurul Izzah yang ketika itu dilantik untuk mengetuai PKR Pulau Pinang kemudian menolak pelantikannya dan beberapa hari selepas itu letak jawatan Naib Presiden PKR. – 10 Jun, 2019.
Komen