Adakah pelantikan Latheefa konspirasi terhadap Anwar, tanya pemimpin MCA


PELANTIKAN Latheefa Koya sebagai Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menimbulkan persoalan sama ada beliau akan bersikap adil dan tidak berat sebelah, kata presiden MCA Wee Ka Siong

Wee juga menggambarkan Latheefa sebagai seorang yang “sukar dikawal” dan boleh menjadi liabiliti terhadap kepimpinan Pakatan Harapan.

“Saya rasa terganggu bagi pihak presiden PKR, Anwar Ibrahim kerana memang diketahui bahawa Latheefa sentiasa menyasarkan Anwar. Saya harap pelantikannya bukan rancangan konspirasi untuk menghentikan Anwar daripada menjadi perdana menteri seterusnya,” kata Wee dalam satu kenyataan hari ini.

“Secara peribadi, para pemimpin PKR menganggap Latheefa sebagai seorang yang sukar dikawal. Orang pasti akan tertanya-tanya apakah dia pilihan yang tepat untuk peranan itu,” tambahnya.

“Saya harap kita akan melihat sikap tidak pilih kasih dalam pelantikannya yang sangat dipersoalkan.”

Wee menyifatkan pelantikan Latheefa sebagai tidak bertepatan dengan janji yang dibuat  Pakatan Harapan untuk memastikan anggota profesional SPRM akan mengetuai suruhanjaya tersebut.

“Walaupun Latheefa telah mengumumkan perletakan jawatannya dalam PKR untuk mengambil jawatan tersebut, namun kebebasan SPRM kini boleh dipersoalkan.

“Di mana kesaksamaan, integriti dan kredibiliti SPRM sekarang? Imej SPRM kini dalam keadaan terumbang-ambing dan orang yang berfikiran benar tidak akan membenarkan pelantikannya, termasuk kepimpinan PKR.” katanya lagi.

Wee berkata pengganti dari dalam SPRM sepatutnya menggantikan bekas ketua SPRM Mohd Shukri Abdull.

“Ini menjadi hadiah Hari Raya yang paling buruk buat Malaysia, terutamanya di kalangan anggota SPRM.”

Latheefa, 46, menggantikan Mohd Shukri, apabila beliau memohon untuk kontraknya dipendekkan dari tempoh penuh, yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei tahun depan.

Latheefa juga dengan pelantikan tersebut menjadi ketua wanita pertama yang menerajui SPRM, dan orang pertama tanpa latar belakang penguatkuasaan untuk mengetuai agensi anti-rasuah tersebut. – 4 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen