Kematian tak dilapor sebab balai polis jauh, kata kumpulan kebajikan Orang Asli


Alfian Z.M. Tahir

Orang Asli Kampung Kuala Koh di Gua Musang berdepan krisis bekalan air tercemar dan sebanyak 15 kematian dilaporkan susulan insiden itu. – Gambar Shariffa Sabrina Syed Aki, Presiden Pelindung Khazanah Alam Malaysia, 9 Jun 2019.

JUMLAH kematian Orang Asli akibat bekalan air tercemar adalah lebih banyak berbanding laporan yang dibuat kepada pihak polis, kata sebuah pertubuhan kebajikan yang membantu masyarakat itu di Kampung Kuala Koh, Gua Musang.

Presiden Sahabat Jariah, Johan Halid berkata berdasarkan pengiraan pihaknya, seramai 15 Orang Asli telah meninggal dunia sejak awal Ramadan lalu.

“Dua kematian dilaporkan beberapa hari lalu dan satu lagi kematian dilaporkan hari ini, tetapi jumlah kematian sebenar adalah 15 orang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Mereka meninggal dunia di kampung dan kematian mereka tidak dilaporkan kepada pihak polis. Mereka tidak sanggup melaporkannya kepada polis kerana perlu berjalan jauh selama beberapa jam dari kampung ke balai polis.

“Jadi mereka mengkebumikan mangsa di hutan tanpa melaporkan kejadian itu.”

Johan mengulas kenyataan polis dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan hari ini yang melaporkan hanya tiga kematian Orang Asli dicatatkan.

Kematian itu dipercayai berpunca akibat jangkitan paru-paru atau pneumonia.

Bagaimanapun Orang Asli dari suku Batek itu mendakwa mereka menderita penyakit misteri yang dipercayai berpunca akibat bahan buangan kimia daripada aktiviti perlombongan dan perladangan yang berlaku di sekitar hutan tempat mereka tinggal.

Sebanyak 15 kematian dilaporkan susulan krisis pencemaran air di Kampung Kuala Koh di Gua Musang. – Gambar Shariffa Sabrina Syed Aki, Presiden Pelindung Khazanah Alam Malaysia, 9 Jun 2019.

Jabatan kesihatan negeri melaporkan 19 orang masih menerima rawatan di  Hospital Gua Musang, empat ditempatkan di transit pesakit Orang Asli Gua Musang manakala 25 orang lagi diberi rawatan sebagai pesakit luar.

Johan berkata Orang Asli di Kuala Koh, mengalami kekurangan zat makanan ekoran aktiviti penebangan hutan untuk tujuan komersial.

Kebanyakan mereka terdedah kepada penyakit kerana kekurangan bekalan makanan yang biasanya diburu atau dikutip dari hutan tersebut.

“Jika tiada makanan, badan akan menjadi lemah dan mudah jatuh sakit. Orang Batek di Gua Musang tidak mempunyai makanan kerana hutan yang mereka diami sudah diambil alih oleh syarikat perniagaan.

“Wanita di kampung ini amat kurus, kanak-kanak kekurangan zat, kaum lelaki masuk ke hutan untuk mencari makanan selama berhari-hari.

“Jika mereka kembali tanpa hasil, seluruh keluarga akan berlapar. Inilah keadaan yang berlaku di Kampung Kuala Koh,” kata Johan. – 9 Jun, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen