Seorang lagi Orang Asli meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru


Ketua Polis Daerah, Mohd Taufik Maidin berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklumat berhubung pertambahan bilangan  penduduk Orang Asli yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2019.

SEORANG lagi penduduk Orang Asli, Kampung Kuala Koh, di sini yang mempunyai tanda-tanda jangkitan kuman di saluran pernafasan meninggal dunia pagi ini menjadikan jumlah yang meninggal dunia akibat penyakit itu sebanyak tiga orang setakat ini.

Mangsa yang menerima rawatan awal di Hospital Kuala Krai (HKK) sejak beberapa hari lalu dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu apabila keadaannya semakin kritikal sebelum meninggal dunia.

Mangsa dipercayai menggunakan air tadahan bukit dan sungai yang dipercayai tercemar.

Bagaimanapun pihak hospital masih belum menyalurkan maklumat  lengkap berhubung perkara itu termasuk jantina dan umur mangsa. 

Ketua Polis Daerah, Mohd Taufik Maidin berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklumat berhubung pertambahan bilangan  penduduk Orang Asli yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman itu. 

Beliau berkata setakat ini hanya tiga orang disahkan meninggal dunia  sungguhpun ada dakwaan penduduk kampung itu bahawa 13 orang telah meninggal dunia akibat penyakit itu yang pada mulanya dianggap misteri awal Mei lalu. 

Mohd Taufik berkata, siasatan berhubung dakwaan kematian 13 Orang Asli itu dilakukan sejak beberapa hari lalu dan sehingga ini disahkan hanya tiga orang meninggal dunia dan pihak  pihak  polis belum menemui kubur yang didakwa menjadi mangsa penyakit itu.

“Kita berharap masyarakat Orang Asli di Kampung  Kuala Koh sentiasa berhubung dengan pihak polis terutama melaporkan berkaitan kematian supaya mudah dilakukan siasatan,” katanya hari ini.

Taufik juga berkata hasil  maklumat yang diterima, 119 penduduk kampung berkenaan sudah dibawa keluar untuk rawatan sejak seminggu lalu dan enam daripada mereka yang kritikal dihantar ke HKK untuk rawatan lanjut.

“Daripada jumlah itu,  19 orang masih menerima rawatan di  Hospital Gua Musang, empat ditempatkan di transit pesakit Orang Asli Gua Musang manakala 25 orang lagi diberi rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Mengenai dua kematian terdahulu Mohd Taufik berkata, bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa didapati positif jangkitan kuman di paru-paru . – Bernama, 9 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen