PELANTIKAN Latheefa Koya ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dibincangkan dengan Jemaah Menteri tetapi ada dibincangkan dengan beberapa pihak lain, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir berkata pemilihan Latheefa untuk mengetuai agensi anti rasuah itu adalah keputusan beliau.
Jelas Perdana Menteri, beliau mahu Latheefa mengetuai SPRM kerana wataknya yang tegas dan tidak gentar bersuara.
“Saya tidak suka bertanya dengan Kabinet mengenai pilihan saya. Saya bertanya dengan beberapa pihak yang tahu mengenai Latheefa,” katanya, pada sidang media di Seri Perdana di Putrajaya, hari ini.
Semalam, Presiden Transparency International, Muhammad Mohan meminta Putrajaya menjelaskan kenapa pelantikan Latheefa sebagai ketua agensi anti rasuah yang baru tidak dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai lantikan jawatan utama perkhidmatan awam.
Hari ini, sekurang-kurangnya seorang menteri kabinet mendedahkan pelantikan itu tidak dibincangkan pada peringkat Jemaah Menteri dan tidak juga dibawa ke Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Menurut Dr Mahathir, apa yang beliau lakukan semasa melantik Latheefa ke SPRM tidak banyak beza dengan cara beliau membuat keputusan sebelum ini, iaitu mendengar pandangan orang lain dan membuat penilaian sendiri.
.jpg)
“Agensi anti rasuah itu memerlukan seseorang yang mempunyai perwatakan yang lurus.
“Dia akan selidik semua kes rasuah. Selain itu, sekiranya ada sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang, dia akan siasat dan laporkan,” katanya.
Ditanya pendirian Pakatan Harapan mengenai larangan melantik ahli parti politik ke jawatan awam, Dr Mahathir berkata itu tidak adil.
“Kita tidak boleh mengabaikan orang-orang yang bekerja keras untuk memastikan kemenangan parti.
“Yang pasti, kita tidak menjadikan mereka sebagai ketua jabatan atau syarikat, tetapi dalam kes tertentu, kita boleh melantik mereka sekiranya layak,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Selayang William Leong mempersoalkan pelantikan Latheefa yang tidak dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas untuk melantik jawatan utama perkhidmatan awam, yang beliau pengerusikan.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru. Beliau menjadi wanita pertama menerajui agensi anti rasuah dalam lebih 52 tahun penubuhannya.

Latheefa dilantik menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memilih untuk memendekkan tempoh jawatannya sebelum 17 Mei tahun depan.
Pelantikan Latheefa dibuat secara kontrak untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Pengumuman pelantikannya mendapat reaksi pelbagai daripada pembangkang, badan masyarakat serta pemimpin dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan sendiri.
Antaranya mereka mempersoalkan kebebasannya kerana terkait dengan parti politik selain pelantikannya tidak dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen, seperti yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution hari ini mengesahkan Latheefa bukan lagi ahli parti itu. Latheefa letak jawatan selepas menerima pelantikan ke SPRM. – 5 Jun, 2019.
Komen