Pemimpin PKR tak maklum pelantikan Latheefa ke SPRM


Noel Achariam Mikha Chan Ragananthini Vethasalam Kalidevi Mogan Kumarappa Lee Chi Leong

Kata Saifuddin Nasution, Latheefa ada menghantar surat untuk keluar parti kepada presiden Anwar Ibrahim yang dikirim melalui e-mel. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2019.

PEMIMPIN kanan PKR berkata mereka tidak maklum tentang pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Pelantikan itu juga didakwa tidak dibincangkan pada peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan dan kabinet, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.

“Kita tidak (maklum),” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu kepada wartawan di Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini. 

Jelas Saifuddin, kebanyakan mereka dapat tahu mengenai pelantikan melalui laporan media semalam.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali juga berkata beliau tahu berita itu melalui media.

Ditanya adakah kabinet maklum, Azmin berkata beliau tidak pasti kerana ke tanah suci mengerjakan umrah dan tidak hadir ke mesyuarat kabinet yang lepas.

“Saya pasti pelantikannya dibuat berdasarkan merit kerana Latheefa sudah bertahun-tahun jadi pengamal undang-undang,” katanya.

Ditanya adakah pelantikan ke SPRM menimbulkan konflik kerana Latheefa pernah jadi pemimpin PKR, Azmin berkata peguam itu sudah lama tidak aktif dalam parti.

Latheefa adalah bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagi penggal 2014-2018, mengetuai biro undang-undang. 

Pada pemilihan untuk penggal itu, beliau mendapat undi paling tinggi untuk menang salah satu daripada 20 kerusi MPP.

Beliau tidak bertanding dalam pemilihan parti pada 2018.

Keluar parti

Sementara itu, Saifuddin mengesahkan Latheefa bukan lagi ahli PKR.

Katanya, Latheefa ada menghantar surat untuk keluar parti kepada presiden Anwar Ibrahim yang dikirim melalui e-mel.

“Pegawai saya dapati sebenarnya ada e-mel dari Latheefa kepada presiden parti pada 3 Jun (Isnin) tetapi Datuk Seri Anwar baru balik dari Arab Saudi,” 

Jelas beliau, Anwar yang pergi menunaikan umrah tidak membaca e-mel berkenaan.

“Setakat ini, kita anggap beliau bukan lagi ahli parti,” tambahnya.

Semalam, Saifuddin menafikan Latheefa sudah keluar parti selepas kedudukannya dipertikaikan setelah dilantik mengetuai SPRM.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan Latheefa sebagai

Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru. Beliau menjadi wanita pertama menerajui agensi anti rasuah dalam lebih 52 tahun penubuhannya.

Latheefa dilantik menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memilih untuk memendekkan tempoh jawatannya sebelum 17 Mei tahun depan.

Pelantikan Latheefa dibuat secara kontrak untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Pengumuman pelantikannya mendapat reaksi pelbagai daripada pembangkang, badan masyarakat serta pemimpin dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan sendiri.

Antaranya mereka mempersoalkan kebebasannya kerana terkait dengan parti politik selain pelantikannya tidak dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen, seperti yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya. – 5 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen