PRESTASI Pakatan Harapan sebagai kerajaan akan jadi antara bahan bualan hangat rakyat minggu ini terutamanya pengundi Melayu apabila sebahagian besar warga kota pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri, kata penganalisis politik.
Mereka merasakan isu ekonomi, harga barang dan kos sara hidup akan lebih jadi perhatian berbanding isu yang menyentuh kaum dan agama, walaupun perayaan ini bertumpu pada Melayu dan Islam.
Semasa sambutan Aidil Fitri tahun lalu, PH ketika itu baru lima minggu menang pilihan raya umum menyingkirkan Barisan Nasional (BN) dari Putrajaya.
Namun selepas setahun, penyokong PH yang gembira semasa cuti hari raya sebelum ini, sekarang akan terpaksa mempertahankan kerajaan pilihan mereka yang dianggap belum memenuhi janji pilihan raya, kata Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.
“Orang mula pertikai keupayaan PH, macam mana kita lihat mereka bermain dengan masa, sekejap minta masa setahun, sekejap tiga tahun (untuk tunaikan janji manifesto),” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pensyarah politik dan budaya di Akademi Pengajian Melayu itu berkata, antara isu utama yang jadi perhatian rakyat ialah ekonomi harian yang masih menjerat mereka, yang boleh menjejaskan sokongan kepada kerajaan.
“Rakyat rasa kerajaan hari ini tidak beri perubahan kepada ekonomi harian mereka, tidak ada impak yang mereka rasa,” katanya.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-14, PH menagih undi rakyat dengan janji antara lain mengurangkan kos sara hidup dan menurunkan harga barang yang didakwa meningkat kerana pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
PH memansuhkan GST berkuatkuasa 1 Jun 2018, dua minggu selepas sambutan Hari raya Aidil Fitri tahun lalu. Cukai 6% itu kemudian dikembalikan kepada sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) seperti sebelumnya berkuat kuasa 1 September 2018.
Pelaksanaan cukai baru itu bagaimanapun tidak mengurangkan kos sara hidup dan harga barang seperti yang dirasai oleh rakyat, kata Awang Azman.
“Orang balik kampung cuti hari raya ini dan cerita mereka tidak dapat beri duit raya kerana kos hidup meningkat, peluang pekerjaan kurang, dan prestasi ekonomi masih tak menentu,” katanya.
Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Azizuddin Sani menambah isu ekonomi akan lebih dominan jadi perbualan rakyat berbanding isu kaum dan agama pada hari raya ini kerana itu isu yang dibawa pulang ke kampung.
Statistik terkini menunjukkan lebih kurang 77% rakyat Malaysia tinggal di bandar, yang lazimnya pulang ke kampung halaman untuk perayaan atau semasa musim cuti panjang.
“Isu berkaitan agama, Melayu, perkauman itu banyak, mereka akan sentuh mana yang mereka rasa rapat dengannya tetapi lebih dominan adalah soal ekonomi.
“Ini tidak hanya akan berlegar sewaktu sambutan Aidil Fitri, tetapi berterusan sehingga pilihan raya umum akan datang dan rakyat membuat pandangan umum mereka,” kata Azizuddin.

Penganalisis politik sebelum ini melihat Umno dan PAS membangkitkan isu kaum dan agama untuk untuk membangkitkan gerakan rakyat, sama seperti kempen pilihan raya adil yang dilakukan Bersih dan didukung oleh Pakatan Harapan sebelum PRU14.
Selain kos sara hidup, Awang Azman berkata orang akan memberi perhatian kepada janji-janji lain dalam manifesto yang belum dilaksanakan, termasuk menghapuskan tol dan bayaran balik pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Semasa ucapan pada sambutan ulang tahun pertama pentadbiran PH, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sudah melunaskan 39% janjinya berdasarkan pelaksanaan dan status 464 inisiatif daripada manifesto pilihan raya.
Pensyarah Universiti Malaya Mohamad Tawfik Yaakub berkata rakyat tidak begitu merasakan perubahan selepas kerajaan baharu kerana kerajaan sendiri gagal untuk menghebahkan pencapaiannya.
“PH nampak agak perlahan sampaikan maklumat apa yang mereka sudah lakukan untuk rakyat. Ini mungkin sebab penggerak PH itu asalnya aktivis dan mereka tidak mahu guna jentera kerajaan untuk buat hebahan,” katanya.

Pensyarah di Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik itu berkata, akibatnya, rakyat tidak nampak perubahan walaupun ada pembaharuan yang kerajaan sudah lakukan.
“Jentera kerajaan kena digunakan untuk sampaikan dasar kerajaan. Perlu bezakan, ini dasar dilaksanakan kerajaan, bukan dasar parti pemerintah,” jelasnya.
Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight sempena setahun pentadbiran PH baru-baru ini, bekas penasihat kerajaan Daim Zainuddin juga membangkitkan perkara sama.
Katanya, kerajaan sudah buat banyak perubahan untuk Malaysia sejak mengambil alih Putrajaya setahun yang lalu cuma ia gagal menjelaskan kejayaan itu dengan berkesan kepada rakyat.
Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, PH perlu beri perhatian serius terhadap keresahan rakyat mengenai isu ekonomi, kenaikan harga barang dan sara hidup.
“Rakyat perlukan penyelesaian berkesan setelah setahun kita memerintah,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 5 Jun, 2019.
Komen