PELANTIKAN Latheefa Koya sebagai ketua baru agensi anti rasuah mengejutkan banyak pihak termasuk rakan-rakannya dan aktivis yang pernah sama-sama berjuang dengannya dalam reformasi.
Mereka mengalu-alukan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Peseruhujaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun mempertikaikan cara Putrajaya melantik beliau.
Kata mereka, pelantikan itu sepatutnya dibuat dengan lebih telus.
Pengarah eksekutif Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme, Cynthia Gabriel berkata pelantikan Latheefa membelakangkan maklum balas daripada Parlimen.
“Jawatan utama sepatutnya dibuka kepada permohonan dan disemak oleh jawatankuasa pilihan khas, selaras dengan usaha menambah baik Parlimen,” kata Cynthia kepada The Malaysian Insight.
Pandangan Cynthia disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas untuk melantik jawatan utama perkhidmatan awam, William Leong.
Menurut Leong, beliau sendiri pun terperanjat dengan berita pelantikan Latheefa yang katanya tidak selari dengan janji manifesto Pakatan Harapan.
Latheefa menggantikan Mohd Shukri Abdull yang meminta tempoh jawatannya dipendekkan hampir setahun lebih awal, dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Mandat pelantikan Shukri sepatutnya berakhir 17 Mei tahun depan.
Latheefa adalah bekas ketua biro undang-undang PKR dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu. Beliau juga adalah antara pengasas pertubuhan hak asasi Lawyers fo Liberty (LFL), yang beliau ketuai sebelum pelantikan ke SPRM.
LFL dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan peguam Melissa Sasidaran menggantikan Latheefa sebagai pengarah badan itu.
Pelantikan Latheefa yang diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri menjadikan beliau wanita pertama mengetuai SPRM. Beliau juga orang pertama bukan dari latar belakang penguatkuasaan yang dilantik menerajui agensi anti rasuah itu.
Bekas pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, Parlimen sudah menubuhkan jawatankuasa pilihan khas untuk urusan pelantikan jawatan utama, termasuk institusi seperti SPRM.
“Tahniah kepada Latheefa. Ia mengejutkan kerana saya tidak jangka pelantikannya ini,” kata Maria kepada The Malaysian Insight.
“Bagaimanapun saya percaya pelantikan itu sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu. Saya fikir mustahak untuk kita ada proses yang lebih terbuka bagi pelantikan seperti ini,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya dari PKR itu.
Maria juga anggota Jawatankuasa Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus, yang dipengerusikan oleh Anwar Ibrahim
“Kita ada duluan dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) iaitu kalau ada kekosongan, orang boleh cadangkan lantikan.
“Pihak eksekutif boleh cadangkan tetapi ia harus melalui jawatankuasa pilihan untu pertimbangan,” tambahnya.
Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman awal bulan lepas memberi taklimat kepada jawatankuasa pilihan khas parlimen yang dipengerusikan Leong mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.
Menurut Maria, pelantikan Latheefa juga menimbulkan persoalan tentang kedudukannya dalam PKR.
Beliau bagaimanapun selesa pelantikan itu adalah bagi tempoh jawatan dua tahun, dan berharap had masa itu diselaraskan untuk semua lantikan ke institusi utama. – 4 Jun, 2019.
Komen