Malaysia minta Myanmar hentikan kekejaman, tak setuju dengan pendirian Asean


Malaysia hari ini tidak bersetuju dengan kenyataan dikeluarkan Asean dan mengeluarkan kenyataan keras mengecam Myanmar dalam isu Rohingya. – Gambar AFP, 24 September, 2017.

MALAYSIA meminta Myanmar menghentikan kekejaman terhadap etnik minoriti Rohingya di sana, dan dalam satu kenyataan tegas mengatakan ia “memisahkan dirinya” daripada kenyataan lembut Asean tentang situasi yang berlaku di negara rantau Asia Tenggara itu.

Kenyataan Asean selalunya dikeluarkan berdasarkan konsensus tetapi kenyataan dikeluarkan Pengerusi Asean sekarang, Filipina tidak menamakan Rohingya walaupun ia menggesa semua pihak tidak bertindak bagi mengelakkan situasi bertambah buruk.

“Malaysia mahu memisahkan diri daripada kenyataan pengerusi kerana kami berpandangan ia merupakan salah tafsir realiti situasi.

“Dalam hal ini, Malaysia sudah memberikan kebimbangannya tetapi ia tidak diletakkan dalam kenyataan pengerusi. Kerana itu, kenyataan pengerusi tidak berasaskan konsensus. Kenyataan itu juga melupakan Rohingya sebagai salah satu komuniti yang terjejas,” kata Menteri Luar Anifah Aman dalam satu kenyataan.

Katanya, Malaysia mengecam serangan terhadap pasukan keselamatan Myanmar pada 25 Ogos lalu yang dilakukan Tentera Pembebasan Arakan Rohingya (Arsa) tetapi “operasi pembersihan” Myanmar selepas itu “tidak berkadaran” dan menyebabkan kematian serta lebih 400,000 Rohingya menjadi pelarian.

Malaysia dan Myanmar adalah dua negara daripada 10 negara yang menganggotai Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) yang meraikan ulang tahun ke-50 tahun ini. Kumpulan serantau yang banyak memfokuskan kepada permasalahan ekonomi itu selalunya tidak mengeluarkan kenyataan berkaitan isu dalaman negara ahli dan hak asasi manusia.

“Malaysia tegasnya menggesa Kerajaan Myanmar untuk menghentikan keganasan ini, menghentikan pemusnahan kehidupan dan harta benda, membenarkan akses serta merta tidak terbatas untuk penyampaian bantuan kemanusiaan untuk Rohingya dan semua komuniti yang terjejas, dan menyelesaikan masalah pelarian Rohingya.

“Penyelesaian berdaya maju dan jangka panjang kepada punca konflik perlu dicari supaya Rohingya dan komuniti terjejas berupaya membina kembali kehidupan mereka. Kami juga mendesak Myanmar untuk memenuhi komitmennya untuk serta merta melaksanakan cadangan dalam laporan akhir Suruhanjaya Penasihat Mengenai Negeri Rakhine,” kata Anifah dalam kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra di Kuala Lumpur.

Beliau juga mengatakan Malaysia sudah menghantar bantuan kemanusiaan ke Bangladesh awal bulan ini dan akan terus berbuat demikian untuk membantu negara Asia Selatan yang kini memberi perlindungan kepada pelarian dari Myanmar.

Kenyataan Asean hari ini berkata yang Menteri Luar Asean “meluahkan kebimbangan berkaitan perkembangan terbaru di Utara Negeri Rakhine di Myanmar dan mengucapkan takziah kepada semua mangsa dan komuniti terjejas dalam konflik itu”.

Ia juga menyebut yang semua menteri luar Asean mengecam serangan pada 25 Ogos dan “semua tindakan keganasan yang menyebabkan kehilangan nyawa orang awam, kemusnahan tempat tinggal dan menyebabkan ramai orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka”.

“Kementerian Luar mengakui yang situasi di Negeri Rakhine adalah isu inter komunal yang rumit dengan punca sejarah yang panjang. Mereka dengan tegas menggesa semua pihak terlibat untuk mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan situasi di sana,” kata kenyataan Asean.

Kenyataan turut menambah kementerian luar bersetuju yang “penyelesaian berdaya maju dan jangka panjang kepada punca konflik perlu dicari”, termasuklah menggalakkan dialog antara Myanmar dan Bangladesh bagi membolehkan komuniti terjejas membina kembali kehidupan mereka.

“Kementerian Luar mengalu-alukan komitmen pihak berkuasa Myanmar untuk memastikan keselamatan orang awam, mengambil tindakan serta merta untuk menghentikan keganasan di Rakhine, mengembalikan semula persekitaran normal sosio-ekonomi, dan menangani masalah pelarian melalui proses verifikasi,” katanya. – 24 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen