Hak Sultan Johor tegur buka puasa di gurdwara, kata pemimpin PH


Mohd Farhan Darwis

Pemimpin Pakatan Harapan di Johor berkata, teguran Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kepada Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir yang berbuka puasa di gurdwara di Johor Bahru perlu dihormati walaupun dalam Islam ada perbezaan pandangan ulama mengenai perbuatan itu. – Gambar Facebook, 2 Jun, 2019.

SULTAN Johor ada hak untuk tegur penganjuran majlis berbuka puasa di rumah ibadat bukan Islam kerana baginda ketua agama Islam negeri, kata pemimpin Pakatan Harapan di Johor.

Kata mereka, teguran Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kepada Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir yang berbuka puasa di gurdwara di Johor Bahru perlu dihormati walaupun dalam Islam ada perbezaan pandangan ulama mengenai perbuatan itu.

“Itu hak Tuanku sebagai ketua agama untuk menasihati, kita akur dan terima teguran baginda, mana yang baik untuk kita kenalah terima.

“Sebagai manusia kita kena ada sikap keterbukaan. Kalau ada orang beri teguran yang baik, tak kira teguran datang daripada mana pun, sama ada musuh atau kawan, kita kena terimalah,” kata Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang, kepada The Malaysian Insight.

Adun Puteri Wangsa itu juga berharap isu berkenaan tidak perlu dipanjangkan lagi.

Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan semalam menegur tindakan Akmal yang disifatkan mempunyai implikasi yang serius.

Titah baginda perbuatan itu membuka ruang kepada penyebaran dakyah agama lain kepada umat Islam, selain menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan umat Islam di Johor.

Selasa lalu, Akmal meneruskan langkah memenuhi undangan berbuka puasa di Gurdwara Sahib Johor Bahru sama seperti yang dilakukannya tahun lalu walaupun dapat bantahan dan kecaman pelbagai pihak.

Beliau yang juga ketua pemuda PKR mempertahankan majlis yang diberi nama Majlis Iftar Muhibbah yang menurutnya dihadiri untuk “mengeratkan hubungan sesama rakyat.”

Pengerusi jawatankuasa gurdwara itu bagaimanapun kemudian mendakwa tidak maklum akan penganjuran majlis berbuka puasa berkenaan yang dikatakan dirancang seorang ahli biasa dan tidak melibatkan ahli jawatankuasa.

Sultan Johor bagaimanapun bertitah tindakan berbuka puasa di gurdwara seperti itu boleh menimbulkan fitnah dan mudarat yang lebih besar berbanding kebaikannya.

Selasa lalu, Akmal Nasir meneruskan langkah memenuhi undangan berbuka puasa di Gurdwara Sahib Johor Bahru sama seperti yang dilakukannya tahun lalu walaupun dapat bantahan dan kecaman pelbagai pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2019.

Khilaf pandangan

Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan bagaimanapun berkata, terdapat banyak pandangan berhubung perkara ibadat orang Islam di tempat ibadat bukan Islam dan terpulang kepada setiap individu untuk menilai program tersebut.

Adun Parit Yaani itu berkata, setiap pandangan mempunyai hujah dan pendirian masing-masing yang sekaligus memerlukan rasa hormat antara satu sama lain.

“Maknanya itu pandangan, banyak pihak boleh berikan pandangan berdasarkan kepada pendapat banyak pihak. Ada yang letakkan pandangan berdasarkan ulama, tapi ulama pun ada pandangan berbeza-beza.

“Pada saya selagi tak langgar peraturan agama Allah terpulang kepada pegangan masing-masing,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Aminolhuda yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam dan pendidikan Johor turut berkata, keutamaan harus diberikan untuk memupuk perpaduan sesama kaum di dalam negara.

“Setiap mereka ada hujah, A kata tak boleh, B kata boleh, yang penting ruang dakwah menunjukkan kebenaran Islam dapat dibuat kepada masyarakat secara harmoni dan juga mengikut tatacara adab yang baik dalam masyarakat berbilang kaum dan agama,” katanya.

Kurang senang

Aminolhuda tidak menolak orang ramai kurang senang dengan penganjuran majlis berbuka puasa seperti itu kerana persekitaran majoriti Muslim dalam negara di samping program seperti itu masih baru di Malaysia.

“Bagi sesetengah negara Arab (mereka) ada buat program seumpama itu, ada orang kata tak perlu rujuk (negara luar), tapi itu ada pandangan berbeza.

“Dalam parti politik kita ada ahli bukan Islam, jadi mereka juga nak raikan rakan-rakan beragama Islam mereka. Kita lihat dari sudut hubungan tadi. Kita sekadar berbuka puasa, bukan nak solat di tempat ibadat mereka,” katanya lagi.

Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan bagaimanapun berkata, terdapat banyak pandangan berhubung perkara ibadat orang Islam di tempat ibadat bukan Islam dan terpulang kepada setiap individu untuk menilai program tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2019.

Sultan Ibrahim dalam titahnya turut menarik perhatian walaupun Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama namun ia tidak boleh melampaui sempadan agama Islam dan budaya yang jadi amalan selama ini atas nama membina toleransi.

Baginda turut menitahkan pihak berkuasa agama Johor untuk mengambil tindakan segera terhadap apa yang berlaku mengikut enakmen negeri yang sesuai.

Baru-baru ini, baginda menegur tindakan Anggota Parlimen Labis Pang Hok Liong berucap di masjid pada majlis menyampaikan bantuan Ramadan.

Persepsi

Mazlan bagaimanapun melihat tidak timbul isu Sultan Johor tidak “sebulu” dengan pimpinan PH berdasarkan teguran-teguran itu, sebaliknya berpendapat pandangan sedemikian hanyalah persepsi.

“Kalau kita pandang A, maka A jadinya. Kalau kita nilai positif, ia jadi positif, kalau negatif ia akan jadi negatif.

“Kita orang politik kena jaga parti kita, orang lain takkan jaga parti kita,” kata Mazlan lagi.

Aminolhuda pula berpendapat, pendekatan parti politik mendekati masyarakat berbeza berbanding pihak lain.

“Mungkin bukan masalah tuanku, maksud saya dari segi pendekatan yang dibuat parti politik untuk mendekati rakyat pasti berbeza dengan pihak tertentu yang lain.

“Kita hormati pandangan yang berbeza, yang penting masyarakat harmoni dalam negara kita,” katanya.

The Malaysian Insight sudah berusaha mendapatkan reaksi Akmal terhadap pandangan yang dizahirkan oleh Sultan Johor semalam bagaimanapun tidak mendapat maklum balas. – 2 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen