Menjawab Khaled Nordin: Dasar Kebudayaan Kebangsaan bukan sakral


TULISAN tentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan oleh Mohamed Khaled Nordin telah mendapat tanggapan daripada Adun DAP, Edry Faizal. Tulisan Edry Faizal pula kemudiannya dibalas kembali oleh Khaled.

Menyusul kemudian satu lagi tulisan daripada Azharruddin Aziz, seorang pembaca TMI yang turut terjun ke dalam perbahasan tentang persoalan budaya, bangsa dan kebangsaan dengan memberikan kritik terhadap tulisan Edry Faizal.

Semua tulisan itu mencerminkan keinginan mereka untuk mengangkat kembali wacana kebudayaan, keperibadian dan identiti kebangsaan yang sebenarnya telah agak lama dipinggirkan daripada ruang awam sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan.

Tumpuan pelaksanaan DEB lebih kepada usaha-usaha bersifat ekonomistik khususnya untuk melahirkan lebih ramai pemodal dan usahawan bumiputera. Ini  menyebabkan persoalan bersangkutan dengan rupa bentuk, wajah, identiti dan keperibadian kebangsaan tidak mendapat tempat yang sewajarnya dalam agenda negara sepanjang 62 tahun Umno-Barisan Nasional memerintah Malaysia.

Justeru, adalah menjadi ironi apabila tiba-tiba sahaja sesudah tumbang dan kehilangan kuasa, barulah Khaled melalui tulisannya berjudul Naratif Malaysia Tidak Boleh Tolak Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971, cuba-cuba untuk menjadi juara kebudayaan kebangsaan.

Dalam tulisannya Khaled mengajukan supaya “naratif Malaysia baharu yang digembar-gemburkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) haruslah berpandukan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan terdahulu”. Ajuan Khaled ini sendiri sebenarnya menarik untuk diteliti.

Pertamanya, Khaled tidak memberi sebarang takrifan tentang apa yang beliau maksud sebagai naratif Malaysia. Ini bukanlah kesalahan Khaled. Beliau cuma memetik istilah ‘naratif Malaysia’ daripada kenyataan beberapa pemimpin parti pemerintah. Mereka yang mengajukan idea ‘naratif Malaysia’ ini pun tidak memperhalusi dengan lebih dalam untuk memberikan suatu makna yang lebih jelas.

Mungkin suatu bentuk kejelasan diperlukan untuk menghuraikan apa itu ‘naratif Malaysia’.

Semakan di Pusat Rujukan Persuratan Melayu mentakrifkan ‘naratif’ sebagai “cerita atau kisah tentang peristiwa, pengalaman dan lain-lain.” Malaysia pula adalah suatu wilayah politik dengan sempadan geografinya yang terpeta berdasarkan undang-undang antarabangsa, mempunyai sistem kepemerintahannya yang khas dan berdaulat serta didiami oleh pelbagai etnik yang rencam baik yang menjadi warganegara mahu pun yang bukan warganegara.

Justeru, “naratif Malaysia” bukanlah suatu bentuk ideologi tetapi sebuah kisah Malaysia dengan kepelbagaian serta kerencaman idea, aspirasi, hasrat, pengalaman, peristiwa yang berlaku dan dialami olehnya sebagai sebuah entiti politik yang di diami oleh manusia-manusia yang rencam etnik, agama, budaya, bahasa, gender, kawasan penempatan, kedudukan sosio-ekonomi dan sebagainya.

Kepelbagaian inilah yang membentuk kisah, pengalaman, kefahaman, idea, aspirasi, hasrat dan cita-cita yang juga pelbagai, yang terkandung dalam apa yang dinamakan “naratif Malaysia’.

Justeru, untuk Khaled mengajukan bahawasanya naratif Malaysia “haruslah berpandukan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan terdahulu” adalah sesuatu yang berlawanan dengan hakikat kepelbagaian yang sudah pun sedia wujud kini.

Namun Dasar Kebudayaan Kebangsaan itu sendiri adalah satu daripada banyak idea, aspirasi, kisah dan pengalaman yang telah dilalui oleh Malaysia.

Jika kita mencermati Dasar Kebudayaan Kebangsaan, kita akan dapati ia suatu dokumen yang bersifat Melayu-Islam sentrik di mana prinsip ketiga iaitu unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar diterima, perlu dipertimbangkan berdasarkan kepada prinsip pertama iaitu, kebudayaan asal rakyat rantau ini, sementara prinsip ketiga iaitu Islam menjadi unsur penting.

Maknanya kebudayaan lain yang tidak selari dengan prinsip pertama dan ketiga tidak dikira sebagai kebudayaan kebangsaan (Rujuk Asas Kebudayaan Kebangsaan 1973).

Jika inilah pendekatan yang diambil, maknanya bukan sahaja kebudayaan masyarakat Cina dan India tidak dikira sebagai kebudayaan kebangsaan, kebudayaan komuniti bumiputera bukan Islam seperti yang ramai terdapat di Sabah dan Sarawak juga akan diketepikan dari pertimbangan sebagai dasar kebudayaan kebangsaan.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan bukanlah al-Quran yang tidak boleh diubah. Dasar Kebudayaan Kebangsaan juga bukanlah suatu undang-undang. Ia cuma garis panduan tetapi tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan kerana tidak pernah digubal oleh Parlimen.

Kalau Khaled menyusuri sejarah Dasar Kebudayaan Kebangsaan akan ditemukan inspirasi kepada Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang dijadikan rujukan untuk menerbitkan dokumen Asas Kebudayaan Kebangsaan 1973 – benihnya sudah ditanam di Kongres Kebudayaan Melayu 1957.

Di Kongres Kebudayaan Melayu 1957 yang disertai oleh budayawan dan intelektual Melayu inilah cita-cita untuk meletakkan suatu landasan budaya yang berteraskan Melayu untuk negara baru merdeka iaitu Persekutuan Tanah Melayu diajukan oleh peserta-peserta kongres.

Seperti namanya, hanya peserta Melayu sahaja yang terlibat membahaskan idea-idea kebudayaan kebangsaan pada ketika itu.

Malaysia pada masa itu belum lagi wujud. Yang wujud ialah Persekutuan Tanah Melayu. Walaupun Kongres Kebudayaan Melayu 1957 tidak membuahkan mekanisme pelaksanaan yang konkrit tetapi sudah cukup untuk membenihkan idea tentang teras Melayu sebagai landasan kepada kebudayaan kebangsaan.

Kelahiran Malaysia pada tahun 1963 tidak mematikan benih idea kebudayaan kebangsaan yang diajukan pada Kongres 1957 itu. Setelah berlakunya konflik etnik 13 Mei 1969, kaum intelektual, budayawan, penggiat serta aktivis seni-budaya dan ahli akademik telah berkumpul di Universiti Malaya pada 16 hingga 20 Ogos 1971 untuk membincangkan persoalan kebudayaan kebangsaan.

Lima puluh dua kertas seminar dengan lebih daripada 500 muka surat telah dibentangkan oleh para peserta yang mewakili pelbagai komuniti yang ada di Malaysia. Selain budayawan dan intelektual Melayu, Kongres Kebudayaan Kebangsaan ini turut dihadiri oleh tokoh-tokoh budaya dan intelektual bukan Melayu seperti Profesor Khoo Kay Kim, Krishen Jit dan Llyod Fernando.

Namun begitu, Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 ini mendapat kritikan yang hebat khususnya daripada komuniti Cina dan India kerana dikatakan tidak terangkum. Kehadiran tokoh-tokoh bukan bumiputera di Kongres 1971 ini dirasakan oleh komuniti Cina dan India hanya sekadar token sahaja kerana penggiat seni budaya dan sastera berbahasa Mandarin dan Tamil tidak dijemput untuk sama-sama membahaskan persoalan kebudayaan kebangsaan.

Malah timbul kemusykilan dalam kalangan komuniti Cina dan India apakah Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang hanya diajukan pada tahun 1973, yakni dua tahun setelah Kongres 1971 berlangsung, benar-benar melalui proses rundingan dengan kesemua peserta kongres atau rumusan yang menghasilkan tiga prinsip asas kebudayaan itu dibuat hanya oleh Menteri dan birokrat Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan tanpa merujuk kepada peserta kongres?

Ketidakpuasan hati komuniti Cina dan India ini mendorong mereka untuk membuat kongres masing-masing. Kedua-dua komuniti ini kemudiannya mengajukan dasar kebudayaan kebangsaan alternatif yang mereka fikir sebagai lebih adil, demokratik dan saksama.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1973 ini sememangnya suatu dasar yang cukup kontroversial khususnya buat komuniti bukan Melayu dan bumiputera bukan Islam khususnya yang bersangkutan dengan prinsip asas ketiga (Islam sebagai unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan).

Kerana itu jugalah, pada tahun 1990, satu kumpulan sarjana akademik dan intelektual dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dikenali dengan nama Kumpulan Lima Belas telah mengajukan suatu memorandum penilaian hasil daripada penyelidikan mereka yang menyeluruh dan luas dalam bidang kajian Malaysia (Rujuk Kumpulan Penelitian Sosial UKM: Setelah 1990: Ekonomi dan Pembentukan Bangsa). 

Formulasi kebudayaan kebangsaan yang diajukan oleh Kumpulan Lima Belas UKM ini menarik untuk dibincangkan. Mereka mempertegaskan kebudayaan kebangsaan seharusnyalah berteraskan kepada unsur-unsur kebudayaan, kesenian, kesusasteraan dan sejarah komuniti-komuniti yang dikategorikan sebagai bumiputera Malaysia.

Di sini, Kumpulan Lima Belas meletakkan batas geografi yakni ‘Malaysia’ sebagai sumber budaya dan bukan ‘rantau’ seperti yang diajukan oleh Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1973 tanpa mengetepikan budaya bumiputera sebagai terasnya. Mereka juga mencadangkan agar unsur-unsur budaya bukan bumiputera yang mempunyai nilai-nilai sejagat turut diserap menjadi sebahagian daripada asas kebudayaan kebangsaan.

Apa yang menarik daripada formulasi Kumpulan 15 ini ialah tiadanya unsur agama Islam yang dicadangkan untuk dijadikan sebagai unsur yang mentakrifkan asas kebudayaan kebangsaan.

Ini sebenarnya tidak sukar untuk difahami. Penyertaan Sabah dan Sarawak yang mempunyai jumlah komuniti bumiputera bukan Islam yang besar ke dalam Persekutuan Malaysia menjadikan unsur Islam sebagaimana yang ditetapkan oleh Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1973 tidak lagi dapat memenuhi takrif budaya bumiputera sebagai teras kebudayaan kebangsaan.

Mencadangkan unsur Islam sebagai unsur penting untuk pembentukan budaya kebangsaan hanya akan menafikan kebudayaan komuniti bumiputera bukan Islam yang juga merupakan komuniti asal di wilayah Malaysia ini.

Justeru, untuk Khaled mengajukan supaya “haruslah berpandukan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan terdahulu” adalah bertentangan dengan perjalanan sejarah idea tentang kebudayaan kebangsaan itu sendiri yang punya proses dan sejarahnya serta mengandungi pula pelbagai pandangan, kefahaman, formulasi dan hasrat.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1973 bukanlah suatu dokumen sakral seperti Al-Quran yang langsung tidak boleh dipinda atau diubah. Ia adalah sebahagian daripada idea yang terkandung di dalam naratif Malaysia yang pelbagai dan rencam. Sebagai sebuah idea tentunya ia boleh dikritik, diubah, dipinda dan dibahaskan.

Mungkin suatu perbahasan tentang kebudayaan kebangsaan antara Edry Faizal dan Khaled Nordin boleh dicadangkan sebagai satu usaha untuk kita merayakan ruang demokrasi yang lebih terbuka di era Malaysia Baru dan seterusnya mengangkat kembali wacana kebudayaan, keperibadian dan identiti kebangsaan yang telah lama dipinggirkan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional yang terdahulu.

Siapa yang sedia menyambutnya? Edry? Khaled? – 2 Jun, 2019


* Muhammad Hafez Darwis, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen