Peluru berpandu Israel ragut tiga nyawa tentera Syria


Tentera Israel mengesahkan ia menyasarkan kedudukan ketenteraan Syria sebagai tindak balas terhadap dua roket yang dilancarkan dari Syria. – Gambar EPA, 2 Jun, 2019.

SEKURANG-kurangnya tiga tentera Syria terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam serangan peluru berpandu Israel di wilayah Quneitra di selatan, dedah media negara Syria semalam.

Tentera Israel mengesahkan ia menyasarkan kedudukan ketenteraan Syria sebagai tindak balas terhadap dua roket yang dilancarkan dari Syria ke atas Gunung Hermon, Dataran Tinggi Golan yang dikawal negara itu.

Selepas menyasarkan pinggir ibukota Damsyik, Israel “memperbaharui pencerobohannya dengan menembak beberapa peluru berpandu di pedalaman timur Quneitra,” kata agensi berita rasmi SANA.

“Pencerobohan itu mengakibatkan kematian tiga orang tentera dan menyebabkan kecederaan tujuh yang lain selain beberapa kehilangan peralatan,” katanya.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata beliau adalah orang yang mengarahkan serangan itu.

“Kami tidak akan bertolak ansur dengan tembakan di wilayah kami, dan bertindak tegas terhadap apa-apa pencerobohan terhadap kami,” katanya.

Tentera Israel turut berkata ia menembak “dua artileri Syria, beberapa kedudukan risikan di Dataran Tinggi Golan, dan kedudukan pertahanan udara SA-2”.

Israel telah melancarkan beratus-ratus serangan udara di Syria, kebanyakannya disaarkan ke atas kedudukan Iran dan Hizbullah. – AFP, 2 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen