Sesaknya baju Melayu tanpa pesak


Badrul A Bakar

HATI patah seusai membelek baju Melayu (untuk orang lelaki) yang sedang dijual di sana sini.  Sama ada secara atas talian atau pun di luar talian, di lot parkir atau pun di butik untuk golongan tajir, yang murah atau pun yang mahal.

Emosi jadi begini hasil pengumpulan data primer dan sekunder di dua ibu kota busana Muslim(ah), iaitu Bandar Baru Bangi dan Seksyen 7 Shah Alam.

Dapatan menunjukkan baju Melayu sudah hilang di muka bumi! Entahlah, bagi generasi hari ini ia mungkin suatu evolusi, tetapi bagi diri ini ia adalah kehilangan jati diri.

Isunya ialah pakaian yang didakwa sebagai baju Melayu itu bukannya baju Melayu. Mana mungkin baju tanpa pesak itu layak digelar baju Melayu?

Baju Melayu tanpa pesak bagaikan rumah Melayu tanpa tiang seri, bagaikan PAS tanpa menunggang Islam, dan bagaikan Umno tanpa mainan perkauman.

Jika ramai khalayak terpinga dengan istilah “gaji bermaruah”, diri ini menjadi lebih terpinga mengenangkan ke mana hilangnya maruah sang pemakai baju Melayu “fake” yang ternyata menonjolkan bentuk tubuh. Baju sendat, ketat, perut jadi senak kerana tiadanya pesak.

Gundah gulana mengenangkan pesak yang merupakan asas identiti baju Melayu tiada siapa yang perjuangkan.

Tiada NGO Melayu, tiada social media influencer Melayu, tiada instafamous Melayu, tiada selebriti Melayu, tiada parti politik Melayu yang mahu memperjuangkan ketulenan baju Melayu.

Tidakkah mereka sedar baju Melayu tanpa pesak ialah kemeja biasa ataupun kurta?

Jika populariti jubah pernah memunculkan polemik kerana ia dikatakan sebagai suatu proses Arabisasi terhadap masyarakat Melayu, maka baju Melayu tanpa pesak ini boleh dinyatakan sebagai bukti wujudnya fenomena Bengalisasi. Apatah lagi majoriti yang menjahit pakaian tersebut ialah warga Bangladesh.

Identiti kaum

Ironinya ketidakpedulian terhadap lambang kaum ini berlaku sewaktu perkauman kembali menjadi-jadi dalam politik Malaysia.

Sewaktu identiti kaum menjadi amat penting kerana kononnya kaum lain bercita-cita ingin menghapuskan lambang kemegahan tersebut.

Walhal apabila diteliti, kaum itu sendiri yang menghapuskannya dari muka bumi kerana ketidakpedulian.

Begitulah comeback perkauman dalam politik Malaysia yang tidak menguntungkan. Perkauman tidak meningkatkan kesedaran tentang warisan zaman berzaman apalagi meningkatkan iman.

Perkauman hanya menyebabkan isu bukan kaum menjadi perkauman sehingga buruk sangka antara kaum menular terutama di media sosial.

Godaan komunalisme yang primordial memang amat kuat. Individu yang tidak perkauman dengan mudah menjadi perkauman dalam kenyataan dan tindakan apabila persekitarannya menjadi komunal.

Siapakah yang mengkonstruk persekitaran komunal ini? Bagaimanakah caranya? Apakah alatnya?

Dalam era media sosial, kelebihan untuk membentuk persekitaran politik terletak di tangan pembangkang. Ini kerana media sosial sejak dari zaman blog sehinggalah ke hari ini jiwanya sentiasa membangkang tanpa mengira siapakah pembangkang tersebut.

Dari era Refomasi pada tahun 1998 sehinggalah PRU14 dalam tahun 2018, pembangkang pada waktu itu memuat naik maklumat yang bersifat non-komunal di media sosial.

Intipatinya meliputi tuntutan melaksanakan pilihan raya yang bebas dan adil, menatang governans yang baik, mendaulatkan periksa dan imbang justeru pemisahan kuasa, memerintah mengikut perlembagaan dan undang-undang, menghargai kepelbagaian, menghormati federalisme, menjunjung kebebasan media, dan pelbagai lagi yang menarik hati semua pihak tanpa mengira ras dan kelas.

Politik baharu

Pendek kata ia adalah tuntutan ke arah pendemokrasian kerana semuanya berasaskan kepada prinsip demokrasi. Bermula dari tsunami politik 2008, fenomena tersebut dikenali sebagai politik baharu.

Malah kerajaan yang memerintah dari PRU12 sehingga PRU14 juga turut terikut mengoperasikan politik baharu apabila muncul dengan pelbagai program penjenamaan semula menerusi 1Malaysia yang inklusif.

Ini menyemarakkan lagi politik baharu sebagai pendekatan politik yang sesuai untuk pembinaan bangsa Malaysia dan membenamkan politik lama perkauman yang merencat konstruksi bangsa.

Tetapi apabila kerajaan tersebut menjadi pembangkang ekoran kalah PRU14 pada tahun lepas, mereka kembali kepada pendekatan perkauman.

Merekalah yang memuat naik dan menularkan pelbagai maklumat perkauman di media sosial sehingga mencipta landskap politik Malaysia yang amat komunal.

Menambah parah apabila persekitaran politik luar juga begitu komunal. Ini bermula dengan keputusan referendum Brexit pada Jun 2016 dan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada November 2016.

Keduanya menjadi indikator kembalinya politik lama perkauman dalam kalangan masyarakat Barat. Ironinya, segala yang berlaku di sana menjadi trend global yang menular sehingga ke Malaysia.

Kemunculan semula perkauman ini seolah tanda berlakunya reverse wave terhadap gelombang pendemokrasian di Malaysia yang melanda untuk kali ketiga dalam PRU-14.

Namun, beberapa hari lepas para pendukung politik baharu mendapat khabar menyenangkan.

Presiden Joko Widodo kembali berkuasa walaupun sepanjang tempoh kempen pilpres 2019 pasukan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno memilih memainkan sentimen agama dan kesangsian terhadap etnik Cina dan Republik Rakyat China untuk menang dalam pilihan raya tersebut.

Perkembangan politik di seberang seringkali dampaknya sampai di sini, misalnya Reformasi 1998 dan politik baharu dukungan Jokowi yang menginsipirasi pendemokrasian politik Malaysia dalam PRU14. Maka, ini memunculkan beberapa pertanyaan.

Mungkinkah mantan kerajaan dan sekutunya sudah belajar daripada kekalahan Prabowo-Sandi?

Adakah mereka akan berhenti melihat segala isu dari kaca mata perkauman? Adakah politik baharu kembali mengisi wacana politik Malaysia?

Apakah tindakan jangka panjang kerajaan Malaysia Baharu terhadap politik perkauman? Tidak terfikirkah untuk mengharamkan komunalisme seperti mana pengharaman komunisme?

Pertanyaan terakhir, mampukan baju Melayu berpesak, yakni baju Melayu yang asli kembali menjadi pilihan di Aidilfitri? – 28 Mei, 2019.

* Dr Badrul A Bakar atau Dr Bae ialah pensyarah sains politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM. Beliau percaya pada demokrasi dan pendemokrasian, atas pengalaman hidup dalam persekitaran demokratik semasa belajar dan bekerja di Amerika Syarikat sewaktu pentadbiran Clinton.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen