Pemimpin Pakatan akan dibenarkan masuk Sarawak untuk ceramah esok


Desmond Davidson

Pemimpin kanan Pakatan Harapan termasuklah Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang dijangka menghadirkan diri ke Sarawak untuk ceramah pertama pembangkang di negeri itu esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2017.

SARAWAK tidak akan menghalang Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lain daripada memasuki negeri itu untuk ceramah pertama mereka di Kuching yang dijadualkan berlangsung esok, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg yang menyifatkan mereka sebagai “tidak penting”.

Bagaimanapun, beliau menegaskan yang akan terus menggunakan hak imigresen negeri itu untuk menghalang mereka yang dianggap tidak diingini, walau apa juga pandangan pengkritik.

“Tiada masalah. Mereka bukan pelampau, lagipun mereka tak penting,” kata Abang Johari merujuk kepada beberapa pemimpin PH yang dijangka mengunjungi negeri itu esok untuk ceramah di kawasan kediaman BDC di Kuching esok malam.

“Saya akan halang mana-mana ahli politik yang mengancam perpaduan Sarawak.

“Kebebasan bersuara tak bermakna ia menggadaikan (hak) rakyat,”

Katanya, alasan itulah yang digunakan negeri untuk menghalang kemasukan beberapa pelampau seperti Ketua Bahagian Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos dan Ibrahim Ali dari Perkasa.

Abang Johari bercakap kepada wartawan selepas menghadiri majlis ulang tahun ke-60 Bahagian Bau hari ini. Bau terletak 47km dari Kuching adalah bandar bekas tapak lombong emas.

Bau kini merupakan badar tarikan utama pelancong utama. Antara tarikannya adalah gua batu kapur dan tempat perkelahan di sepanjang Sungai Sarawak. Sambutan itu diadakan sekali dengan pertandingan bot regatta tahunan untuk menandakan ulang tahun bandar ke-60.

Ketua PH Sarawak Chong Chieng Jen semalam menyuarakan kebimbangan yang bekas Perdana Menteri Dr Mahathir yang kini merupakan pemimpin pembangkang, Lim Kit Siang ahli politik veteran DAP dan Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan Dr Mohd Hatta Ramli mungkin dihalang daripada memasuki negeri itu untuk ceramah pembangkang.

Beliau menggesa kerajaan negeri tidak menyalah guna kuasa imigresennya dan menambah tiada alasan untuk negeri menghalang pemimpin pembangkang daripada memasuki negeri itu.

Pemimpin PH berada di Sabah dan Sarawak hujung minggu ini bagi menyakinkan pengundi yang mereka perlu menolak Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang. Kedua-dua negeri itu selama ini dianggap sebagai deposit undi tetap BN.

Semalam, Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail berada di Sabah menjanjikan akan memberikan jawatan timbalan perdana menteri kepada Sabah dan Sarawak dalam kerajaan persekutuan dan hak yang lebih besar dalam pendapatan negeri sekiranya pembangkang berjaya merampas Putrajaya pada PRU14.

Dalam manifesto enam perkata itu, PH akan membentuk jawatan timbalan perdana menteri kedua yang akan mewakili dua negeri Borneo itu.

Abang Johari yang memegang tampuk pemerintahan negeri sejak Januari lalu selama ini memberikan kelonggaran kepada pemimpin pembangkang untuk memasuki negeri itu.

Ogos lepas, beliau membenarkan dua pemimpin kanan wanita PKR, Nurul Izzah Anwar dan Zuraida Kamaruddin yang sebelum ini berada dalam senarai hitam imigresen negeri memasuki Sarawak untuk menghadiri majlis rumah terbuka di Petra Jaya.

Nurul Izzah, naib presiden PKR dihalang memasuki Sarawak kali terakhir pada Disember 2015 sementara Zuraida, ketua wanita PKR pula dihalang pada 30 Januari 2016.

Sarawak mempunyai kuasa autonomi imigresen di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan kepimpinan Adenan Satem sebelum ini kerap kali menggunakannya untuk menghalang mereka yang dianggap “pengacau, pelampau agama dan perkauman”.

Walaupun kerajaan negeri tidak pernah mendedahkan senarai hitam imigresen itu, dipercayai terdapat “lebih 200” nama termasuklah ahli politik seperti ahli Parlimen PKR, Tian Chua dan Rafizi Ramli, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, Ahli Parlimen Subang R Sivarasa dan aktivitis politik seperti bekas Pengerusi Bersih 2.0 S. Ambiga, Steven Ng, Cynthia Gabriel, Wong Chin Huat dan Johan Tan. – 23 September, 2017.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen