Tiada alasan halang pemimpin Pakatan masuk Sarawak


Desmond Davidson

Ketua PH Sarawak Chong Chieng Jen telah merayu kepada kerajaan negeri agar tidak menyalahguna kuasa imigresennya untuk menghalang Dr Mahathir memasuki Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2017.

PAKATAN Harapan (PH) berkata tiada alasan bagi kerajaan Sarawak menghalang Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang dan Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan Dr Mohd Hatta Ramli dari memasuki negeri itu untuk mengadakan ceramah di Kuching.

“Sudah tentu tiada alasan bagi Barisan Nasional (BN) negeri menghalang Dr Mahathir, Lim Kit Siang Dan Dr Hatta memasuki Sarawak,” kata Ketua PH Sarawak Chong Chieng Jen.

Setakat ini tiada tanda pemimpin PH akan dihalang dari memberi ceramah di negeri itu Ahad ini.

Bagaimanapun, Chong telah merayu kepada kerajaan negeri agar tidak menyalahguna kuasa imigresennya untuk menghalang Dr Mahathir.

“Jika Dr Mahathir diharamkan masuk Sarawak, ia akan menjadi lawak terbaik tahun ini di Sarawak, sama seperti kata Najib ‘Malaysia menguatkan ekonomi AS,” kata Chong.

“Saya gesa Abang Jo tidak mengikut jejak Najib dengan memalukan Sarawak.”

Ahli Parlimen Kuching yang juga Pengerusi DAP Sarawak menegaskan seseorang individu tidak boleh secara selektif diharamkan masuk “hanya kerana dia telah keluar dari BN dan sekarang mempunyai fahaman politik berbeza yang mana ia sah di Malaysia dan Sarawak”.

“Prinsip asa demokrasi menyatakan rakyat mempunyai pilihan untuk memilih kerajaan.

“Itulah tujuan pilihan raya diadakan supaya rakyat boleh membuat pilihan mereka.

“Untuk membolehkan rakyat boleh membuat keputusan bijak, parti politik mesti dibenarkan untuk menyebarkan idea dan dasar mereka dengan bebas,” kata Chong.

Beliau berkata mengharamkan pemimpin dari parti poltik yang sah memasuki Sarawak semata-mata kerana mereka bukan dari BN bukan sahaja penyalahgunaankuasa di pihak kerajaan malah jelas mempersendakan demokrasi.

Walaupun Sarawak sebelum ini sering menghalang pemimpin-pemimpin pembangkang dari Semenanjung, pentadbiran negeri yang kini dipimpin Abang Johari Openg pada Ogos lalu telah membenarkan dua pemimpin PKR yang sebelum ini disenarai hitam memasuki Sarawak iaitu Nurul Izzah Anwar dan Zuraida Kamaruddin, menghadiri rumah terbuka parti itu di Petra Jaya.

Nurul Izzah yang merupakan Naib Presiden PKR pada Disember 2015 dilarang memasuki Sarawak, manakala Ketua Wanita PKR, Zuraida dihalang pada 30 Januari 2016.

Di bawah Perjanjian Malaysia 1963, Sarawak mempunyai autonomi ke atas imigresen dan di bawah pimpinan bekas ketua menteri Sarawak Adenan Satem, beliau sering menggunakannya untuk menghalang individu yang dianggap beliau “tokoh agama, rasis, dan pembuat masalah”.

Adenan tidak menyukai ahli politik dari Semenanjung yang menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

Antara ahli politik yang dilarang memasuki Sarawak ialah Ahli Parlimen PKR Tian Chua, Rafizi Ramli, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dan Ahli Parlimen Subang R Sivarasa.

Aktivis organisasi bukan kerajaan pula ilah bekas pengerusi Bersih 2.0 S. Ambiga, Steven Ng, Cynthia Gabriel, Wong Chin Huat dan Johan Tan.

Ahli politik batu api seperti Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos dan Ibrahim Ali yang disifatkan Adenan sebagai pentaksub agama, juga dianggap persona non grata.

Adenan mempertahankan alasan larangannya itu dengan mengatakan ia untuk menjaga keharmonian Sarawak. – 22 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen