8 warga asing antara korban gempa bumi Mexico


39 bangunan lama di pusat bandar runtuh dalam gempa bumi yang kini meragut nyawa hampir 300 orang. – Gambar EPA, 23 September, 2017.

MAYAT lapan warga asing ditemui dalam runtuhan selepas gempa bumi besar melanda bandar Mexico, kata pegawai.

Mayat itu yang terdiri daripada empat wanita Taiwan, seorang lelaki Korea, seorang lelaki Sepanyol, seorang wanita Panama dan seorang lelaki Argentina, kata Mahkamah Tinggi Mexico dalam satu kenyataan memetik maklumat diberikan institut forensik.

Kenyataan itu tidak menyebut di mana dan bila mayat itu ditemui.

Foto-foto gempa bumi besar Mexico

Mereka antara hampir 300 orang yang terbunuh dalam gempa bumi kuat bermagnitud 7.1 yang berlaku bandar Mexico dan kawasan sekitarnya Selasa lalu.

Di ibu kota negara itu, gempa bumi itu menyebabkan 39 bangunan runtuh, kebanyakannya di pusat bandar di mana bangunan lama dibina dan menjadi tumpuan pelancong dan rakyat asing yang tinggal di bandar itu.

Kenyataan mahkamah itu menyebut mayat warga asing itu dikeluarkan daripada “runtuhan gempa bumi pada Selasa.”

Dikatakan tiada lagi mayat dihantar ke rumah mayat yang diuruskan institut forensik untuk pengecaman sejak Khamis lalu.

64 daripada 65 mayat yang diperiksa institut itu sudah diserahkan kepada keluarga mangsa, kata kenyataan itu lagi.  – AFP, 23 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen