LEBIH separuh rakyat Britain berpendapat yang Uber perlu dibenarkan terus beroperasi di UK, dedah pengundian dilakukan Sky Data sehari selepas aplikasi pengangkutan itu kehilangan lesen operasi di London.
Dalam pengundian itu, 56% menyokong Uber terus beroperasi di Britain dan 44% lagi menentang.
Penduduk London lebih ramai memihak kepada syarikat itu berbanding penduduk kawasan lain, dengan 60% menyokong untuk syarikat itu terus beroperasi dan hanya 29% mengatakan ia perlu disekat.
Dianggarkan 3.5 juta penduduk London menggunakan perkhidmatan itu.
Golongan muda dilaporkan lebih ramai menyokong aplikasi itu; 58% mereka yang berusia dalam lingkungan 18-34 menyokongnya dan hanya 29% menentang, sementara penduduk berusia 55 tahun ke atas lebih ramai menentang iaitu 45% berbanding hanya 30% menyokong.
Agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk pengangkutan di London semalam mengatakan mereka tidak memperbaharui lesen operasi Uber London Ltd yang tamat hujung bulan ini selepas mendapati ia “tidak layak dan sesuai untuk mempunyai lesen operasi upah persendirian”.
Katanya “pendekatan dan tindakan Uber menggambarkan kurangnya tanggungjawab sosial korporat berhubungan pelbagai isu yang berpotensi (menjejaskan) keselamatan awam dan keselamatan”.
Pengumuman pihak berkuasa itu susulan laporan yang dikeluarkan bahawa penyiasat Amerika Syarikat sedang menyiasat Uber Technologies Inc kerana wujud dakwaan syarikat itu melanggar undang-undang rasuah AS melalui operasinya di lima buah negara Asia, termasuk Malaysia.
Siasatan itu tertumpu kepada dakwaan syarikat itu menderma berpuluh ribu dolar kepada Malaysian Global Initiative and Creativity Centre (Magic), sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk menyokong dan membantu syarikat baru.
Dilaporkan ketika derma itu dibuat pada Ogos lalu, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) melabur AS30 juta (RM125 juta) dalam Uber.
Kurang setahun selepas itu, kerajaan meluluskan undang-undang yang memihak kepada Uber dan perkhidmatan aplikasi pengangkutan secara umumnya.
Peguam Uber sedang berusaha memastikan sama ada kes itu adalah kes “quid pro quo” (tindakan berbalas budi) yang dinafikan Magic. – 23 September, 2017.
Komen