Lesen Uber di London tidak diperbaharui


Uber beroperasi di London sejak 2012 dan mengikut rekod mempunyai antara 20,000 hingga 40,000 pemandu di kota itu.– Gambar Youtube, 22 September, 2017.

UBER tidak lagi boleh beroperasi di London selepas agensi kawal selia pengangkutan awam bandar raya itu mengumumkan hari ini tidak akan memperbaharui lesen syarikat itu.

Lesen Uber untuk mengendalikan perkhidmatan kongsi kenderaan berakhir 30 September ini. Uber beroperasi di London sejak 2012 dan mempunyai antara 25,000 hingga 40,000 pemandu di kota itu, mengikut laporan media.

Ia bagaimanapun ada tempoh 21 hari untuk merayu.

Transport for London sebelum ini memberi lesen sementara empat bulan sejak Mei lepas, menunggu keputusan permohonan lesen untuk lima tahun.

Keputusan Transport for London itu jadi satu lagi tamparan hebat kepada Uber yang sejak beberapa bulan berdepan pelbagai cabaran, daripada soal kepimpinan, disiplin dan etika korporat sampailah kepada nilai dan integriti syarikat itu dalam perniagaan.

Selepas CEO dan pengasasnya, Travis Kalanick digantikan oleh CEO Expedia, Dara Khosrowshahi, masalah Uber terus bertimpa-timpa.

Syarikat yang berpangkalan di San Francisco itu sedang disiasat oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) atas dakwaan merasuah kerajaan asing untuk melancarkan perniagaannya di sekurang-kurangnya lima negara Asia, termasuk Malaysia.

Susulan itu Uber Technologies Inc., memulakan siasatan dalaman kemungkinan ada “aturan kewangan” antara syarikat di Malaysia dengan kerajaan Malaysia yang mungkin mempengaruhi keputusan Putrajaya berhubung operasi perkhidmatan pengangkutan itu di negara ini.

AS mempunyai undang-undang menyekat mana-mana entiti perniagaan di negara itu daripada terlibat dalam amalan rasuah ketika melakukan perniagaan di negara-negara lain.

Pemimpin Pakatan Harapan kemudian meminta Putrajaya menjelaskan apa “aturan kewangan” dengan syarikat itu dan sekiranya Putrajaya didapati memihak kepada Uber kerana rasuah dan lobi, ia adalah satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia.

“Oleh sebab dakwaan itu serius, saya gesa Irwan Serigar dan Nancy Shukri memberi reaksi segera,” kata Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

Liew merujuk kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah yang juga pengerusi Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan tabung amanah Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri Abdullah.

“MaGIC mesti mendedahkan sumbangan yang ia terima manakala KWAP, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional, serta GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) yang lain mesti juga mendedahkan pelaburan mereka dalam Uber kepada rakyat Malaysia kerana ada kemungkinan besar wujud pertindihan kepentingan,” katanya.

MaGIC dalam reaksinya menafikan terlibat dengan sebarang urusan “balas budi” menolong Uber mendapatkan “bantuan” daripada kerajaan Malaysia.

Uber Malaysia juga menyatakan “sedia memberi kerjasama membantu siasatan” pihak berkuasa Amerika.

Uber Malaysia pada Ogos tahun lalu mengumumkan sumbangan berjumlah berpuluh ribu dolar Amerika kepada MaGIC dan menjalin kerjasama untuk menggalakkan usahawan berbakat.

Sebulan kemudian, pada September, KWAP melabur AS$30 juta ke dalam Uber.

Sebulan berikutnya, Perdana Menteri Najib Razak semasa membentangkan Bajet 2017 menggalakkan golongan berpendapatan rendah daripada kumpulan 40% terbawah (B40) untuk memandu Uber. Kerajaan juga memberikan rebat RM4,000 untuk pembelian Proton Iriz bagi tujuan itu.

Dewan Rakyat pada Julai tahun ini meluluskan pindaan undang-undang yang membenarkan syarikat e-hailing seperti Uber beroperasi dengan sah. – 22 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen