Putrajaya diminta jelaskan urusan kewangan dengan Uber


Pemimpin pembangkang menggesa penjelasan kaitan Malaysia dengan Uber yang didakwa menyogok kerajaan asing untuk melancarkan operasinya. – Gambar EPA, 21 September, 2017.

PUTRAJAYA perlu menjelaskan urusan kewangannya dengan Uber yang kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa di Amerika Syarikat (AS) atas dakwaan menyogok kerajaan asing untuk melancarkan operasinya, gesa pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata sekiranya Putrajaya didapati memihak kepada Uber kerana rasuah dan lobi, ia adalah satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia.

“Oleh sebab dakwaan itu serius, saya gesa Irwan Serigar dan Nancy Shukri memberi reaksi segera,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Liew merujuk kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah yang juga pengerusi Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan tabung amanah Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri Abdullah.

Menurut Liew, beliau sebelum ini pernah meminta Nancy Shukri memberikan butiran pelaburan Khazanah dan GLIC lain ke dalam Uber, semasa perbahasan pindaan ke atas Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010, tetapi tiada maklum balas daripada menteri itu.

Pindaan akta itu adalah untuk membenarkan perkhidmatan pengangkutan e-hailing seperti Uber.

Kenyataan Liew ini adalah susulan laporan Bloomberg semalam mengenai siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) ke atas Uber Technologies Inc berhubung derma korporatnya berjumlah berpuluh ribu dolar di sekurang-kurangnya lima negara Asia termasuk Malaysia.

“MaGIC mesti mendedahkan sumbangan yang ia terima manakala KWAP, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional, serta GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) yang lain mesti juga mendedahkan pelaburan mereka dalam Uber kepada rakyat Malaysia kerana ada kemungkinan besar wujud pertindihan kepentingan,” katanya.

MaGIC dalam reaksinya semalam menafikan terlibat dengan sebarang urusan “balas budi” menolong Uber mendapatkan “bantuan” daripada kerajaan Malaysia, lapor FMT.

Uber Malaysia juga dipetik oleh Channel News Asia “sedia memberi kerjasama membantu siasatan” pihak berkuasa Amerika.

Amerika mempunyai undang-undang menyekat mana-mana entiti perniagaan di negara itu daripada terlibat dalam amalan rasuah ketika melakukan perniagaan di negara-negara lain.

Uber Malaysia pada Ogos tahun lalu mengumumkan sumbangan berjumpah berpuluh ribu dolar Amerika kepada MaGIC dan menjalin kerjasama untuk menggalakkan usahawan berbakat.

Sebulan kemudian, pada September, KWAP melabur AS$30 juta ke dalam Uber.

Sebulan berikutnya, Perdana Menteri Najib Razak semasa membentangkan Bajet 2017 menggalakkan golongan berpendapatan rendah daripada kumpulan 40% terbawah (B40) untuk memandu Uber. Kerajaan juga memberikan rebat RM4,000 untuk pembelian Proton Iriz bagi tujuan itu.

Dewan Rakyat pada Julai tahun ini meluluskan pindaan undang-undang yang membenarkan syarikat e-hailing seperti Uber beroperasi dengan sah.

Jelas Liew, Parlimen Malaysia tidak boleh sama sekali meluluskan rang undang-undang hanya kerana ada lobi yang bersungguh-sungguh oleh sebuah syarikat asing.

Beliau juga mempersoalkan kedudukan kerajaan yang sepatutnya jadi orang tengah dalam isu ini yang pada akhirnya akan menjejaskan periuk nasi pemandu teksi.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata berita syarikat Uber mungkin memberi rasuah di Malaysia adalah sesuatu yang mengejutkan dan membimbangkan.

Beliau turut menggesa Irwan Serigar tampil memberikan penjelasan dan mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk menyiasat dakwaan ini.

“Oleh kerana isu ini melibatkan syarikat pengangkutan awam darat, agensi kerajaan dan wang tabung persaraan pegawai kerajaan, saya menggesa agar SPRM segera memulakan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media. – 21 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen