1,000 masyarakat Islam bantah penganjuran pesta arak, gay


Noel Achariam

Selain PAS Selangor, bantahan yang diadakan di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam itu turut disertai lebih 30 NGO Islam.– Gambar The Malaysian Insight, 22 September, 2017.

KIRA-kira 1,000 orang berhimpun di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam sebaik sahaja selesai solat Jumaat hari ini bagi menyatakan bantahan mereka terhadap sebarang acara atau pesta seperti pesta arak dan gay.

Bantahan itu turut disertai PAS Selangor dan kira-kira 30 badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Haim berkata, pihaknya akan meneruskan bantahan terhadap sebarang acara atau pesta arak dan gay yang dilihat seolah-olah mencabar masyarakat Islam di negara ini. 

Syarhan berkata, perhimpunan bantahan yang diadakan hari ini adalah bagi menghalang mana-mana pihak atau penganjur daripada mengadakan sebarang acara yang memprovokasi masyarakat Islam.

“Kita membantah pesta gay yang akan diadakan pada 30 September ini. Kami berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur kerana kami percaya pesta gay itu diadakan hanya satu provokasi terhadap masyarakat Islam.”

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan tidak akan membenarkan sebarang acara atau pesta gay berlangsung di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, penganjur setakat ini masih belum memohon permit untuk accara berkenaan, tetapi katanya beliau telah mengarahkan polis untuk tidak membenarkan acara itu berlangsung. 
 
Zahid berkata, sekiranya ia diteruskan, ia merupakan “perhimpunan haram”.

Dalam pada itu, Syarhan juga percaya majoriti masyarakat bukan Islam di negara ini juga tidak menyokong penganjuran acara sebegitu. 

“Kami difahamkan sekiranya mereka (pihak penganjur pesta arak) tidak boleh mengadakan acara itu di Kuala Lumpur, mereka akan meneruskannya di Selangor. 

“Kami di Selangor memberi amaran yang sama tidak kira di mana sahaja ia dianjurkan, kami akan terus membantah pesta itu.”

Semalam penganjur “Better Beer Festival” memutuskan untuk membatalkan pesta tersebut yang akan diadakan di Publika Kuala Lumpur bulan depan atas faktor keselamatan.

Penganjur pesta arak terbabit juga berkata tiada lagi penganjuran pesta itu di masa akan datang, selepas polis mengumumkan ia menjadi sasaran militan. – 22 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen