Penganjur batalkan terus pesta arak atas faktor keselamatan


Langkah membatalkan pesta arak itu diibuat atas faktor keselamatan. – Gambar EPA, 21 September, 2017.

PENGANJUR pesta arak Better Beer Festival membuat keputusan untuk membatalkan pesta itu selepas lima tahun menganjurkannya. 

Tiada lagi festival bir selepas ini, kata salah seorang penganjur kepada The Malaysian Insight hari ini beberapa jam selepas polis mengumumkan acara itu menjadi sasaran serangan militan.

Penganjur itu berkata, syarikat berkenaan memutuskan untuk membatalkannya dan tidak akan menganjurkan Better Beer Festival pada masa akan datang. 

“Ini adalah kerana isu keselamatan negara dan kita akur dengan arahan polis berhubung serangan militan itu.

“Ia dibatalkan langsung dan nampaknya kita tidak akan adakannya lagi,” katanya. 

Menurutnya, pihaknya juga tidak akan mengadakan pertemuan dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berbincang mengenai acara itu. 

Terdahulu, Ketua Polis Negara Mohamad Fuuzi Harun berkata Better Beer Festival 2017 yang akan diadakan di Publika Kuala Lumpur bulan depan, tidak mendapat kebenaran polis kerana faktor keselamatan.
 
Katanya hasil risikan mendapati kumpulan militan merancang untuk melancarkan serangan sekiranya acara itu diteruskan. 

Fuzi menambah, selain itu terdapat juga kumpulan lain yang mahu menimbulkan masalah pada festival berkenaan. 

Katanya, oleh sebab itu dan bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini, polis mengambil langkah proaktif untuk melarang penganjuran festival berkenaan. 

Pada Isnin, penganjur festival terbabit mengumumkan acara itu dibatalkan oleh DBKL, yang menyentuh “sensitiviti politik”.

Ia berikutan pemimpin PAS menentang penganjuran itu dan mendakwa ia akan membawa kemudaratan dari segi moral dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat maksiat. 

Pembatalan itu menimbulkan kekecewaan masyarakat bukan Islam yang berkata DBKL tunduk kepada tekanan agama dan politik.

Pakar anti keganasan Ahmad El Muhammady berkata kemungkinan untuk kumpulan militan IS menyerang sekiranya festival itu diteruskan tidak boleh dipandang ringan. 

Katanya, insiden di Puchong pada Jun tahun lalu yang telah mencederakan lapan orang adalah panduan terbaik tentang bagaimana IS melaksanakan rancangan mereka.

Jun tahun lalu, IS mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan yang pertama seumpamanya di Malaysia apabila berlaku kejadian bom tangan meletup di sebuah kelab malam di Puchong. – 21 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen