Pesta arak sasaran pengganas, kata ketua polis negara


Muzliza Mustafa

PDRM telah mengambil langkah proaktif untuk membantah acara ini diadakan demi keselamatan orang awam, kata Mohamad Fuzi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2017.

TERDAPAT laporan mengatakan pengganas akan mensabotaj pesta “Better Beer Festival 2017”, kata polis yang menyokong tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan acara itu.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata berdasarkan maklumat yang diperolehi polis, kumpulan pengganas merancang menyerang pesta ‘Better Beer Festival 2017’ jika ia dibenarkan berlangsung.

“Terdapat juga ancaman daripada beberapa kumpulan yang mahu menimbulkan masalah pada acara berkenaan. Disebabkan itu, bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil langkah proaktif untuk membantah acara ini diadakan demi keselamatan orang awam,” katanya pada sidang akhbar sebentar tadi.

Sementara itu, pakar anti keganasan Ahmad El Muhammady berkata ada kemungkinan IS akan menyerang sekiranya acara itu diteruskan.

“Ya, iklim keselamatan berubah dari masa ke semasa. Pihak berkuasa mendapat tahu rancangan serangan yang dirancang oleh rangkaian IS semasa Sukan Sea dan tempat-tempat ibadat. Jadi, dengan keadaan ini, tidak sesuai untuk menganjur acara seperti itu,” katanya.

Tambahnya lagi, acara itu sebelum ini dibenarkan penganjurannya kerana tahap ketegangannya tidaklah tinggi seperti mana sekarang.

“Ia boleh diterima sebagai tindakan provokasi, dan memberikan alasan untuk memulakan serangan,” katanya.

Insiden di Puchong pada Jun tahun lalu yang telah mencederakan lapan orang adalah panduan terbaik tentang bagaimana IS melaksanakan rancangan mereka.

“Tidak kisahlah (jika mereka berani). Tak ada apa beza. Yang penting ialah motivasi dan peluang,” katanya.

Terdahulu, pakar keselamatan berkata pesta itu akan menarik perhatian IS kerana sebelum ini mereka mengancam untuk menyerang sebuah kilang bir di Shah Alam.

Jun tahun lalu, IS bertanggungjawab ke atas serangan yang pertama seumpamanya di Malaysia apabila berlaku kejadian bom tangan meletup di sebuah kelab malam di Puchong.

Menurut laporan, ketika kejadian pengunjung kelab malam itu sedang menonton perlawanan bola sepak Euro 2016. Lapan pengunjung cedera dalam kejadian.

Serangan dilakukan rakyat tempatan di bawah arahan anggota IS, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi dari Syria.

Lima belas orang ditahan di antara 28 dan 1 Julai berkaitan serangan itu. Ia termasuk dua individu yang didakwa melemparkan bom tangan yang menyebabkan letupan di kelab malam terbabit. – 21 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen