SPRM mula panggil suspek kes SSM, kata sumber


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM mula memanggil beberapa suspek dalam melengkapkan siasatannya berhubung dakwaan skandal di SSM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2019.

AGENSI anti rasuah mula memanggil beberapa suspek untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan skandal di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kata sumber.

The Malaysian Insight difahamkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sudah masuk ke fasa terakhir.

Pertuduhan dijangka boleh dikemukakan di mahkamah awal bulan depan, kata sumber.

“Kami sudah rekod keterangan semua saksi dan hari ini (Selasa) kami akan panggil mereka yang terbabit dalam skandal rasuah suruhanjaya itu pula,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sumber yang maklum tentang proses siasatan memberitahu, penyiasatan setakat ini membongkar isu ketirisan dan rasuah dalam beberapa projek SSM bernilai berbilion ringgit.

“Skandal SSM ini tidak hanya membabitkan projek yang dianggarkan bernilai RM500 juta itu sebaliknya banyak lagi projek lain termasuk penyelewengan projek perkhidmatan perisian teknologi maklumat SSM bernilai lebih RM33 juta.

“Ada juga beberapa projek kecil lain yang membabitkan rasuah nilai jutaan ringgit yang berjaya dibongkar hasil siasatan berterusan ke atas SSM dan syarikat lain yang berkaitan,” katanya.

Setakat ini, lima ditahan reman untuk membantu siasatan termasuk dua pegawai kanan SSM, seorang daripadanya pimpinan tinggi agensi itu.

Pada Januari lalu, SPRM melakukan siri serbuan di Lembah Klang dan beberapa negeri lain termasuk Pahang dan Sarawak bagi menyiasat pemberian projek Sistem Laporan Perniagaan Malaysia bernilai RM500 juta secara langsung kepada syarikat Formis Network Services Sdn Bhd.

Siasatan khusus di Sarawak adalah berhubung perolehan dan pembelian bangunan pejabat bernilai RM30 juta di negeri itu.

Setakat ini juga, jejak kes rasuah, kronisme dan pengubahan wang haram itu membawa SPRM ke lebih 10 buah pejabat, serta gudang, bengkel dan kediaman individu yang dikaitkan dengan kes.

Siasatan ke atas SSM yang bermula awal Januari lalu digerakkan susulan gesaan sebuah pertubuhan masyarakat yang menyenaraikan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi di agensi itu.

Memorandum itu mendakwa beberapa projek SSM diberikan kepada individu dan syarikat yang sama.

Memorandum itu turut menyenaraikan maklumat yang sebelumnya dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin di Dewan Rakyat, yang mendedahkan dakwaan kelemahan SSM pada November tahun lalu. – 22 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen