Siasatan skandal kontrak SSM tumpu Pahang, Sarawak


Kalidevi Mogan Kumarappa

ENAM lagi premis termasuk dua pejabat kerajaan diserbu agensi anti rasuah di Pahang dan Sarawak dalam siasatan ke atas skandal kontrak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Serbuan itu adalah rentetan daripada siasatan ke atas pemberian projek Sistem Laporan Perniagaan Malaysia bernilai RM500 juta secara langsung kepada syarikat Formis Network Services Sdn Bhd.

Siasatan khusus di Sarawak adalah berhubung perolehan dan pembelian bangunan pejabat bernilai RM30 juta di serata negeri itu, kata sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu, operasi bermula 9 pagi hingga 6 petang di kedua-dua negeri itu semalam turut meliputi skandal melibatkan projek bawah Koperasi SSM, jelas sumber.

Menurutnya selain dua pejabat kerajaan, serbuan dibuat ke atas tiga buah syarikat dan sebuah firma guaman.

“Dalam serbuan di Sarawak hari ini, syarikat milik pemilik asal bangunan dan kontraktor yang terbabit dalam projek bangunan SSM itu sendiri yang diberikan secara rundingan terus menjadi sasaran serbuan.

“Selain itu, Jabatan Penilaian Harta di Sarawak dan Pahang turut diserbu bagi membantu siasatan ketelusan projek yang dijalankan oleh Koperasi SSM,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sumber berkata, semua projek yang disiasat itu diberikan tanpa melalui proses tender dari tahun 2014 hingga 2018.

Katanya, isu projek rundingan terus ini membabitkan pegawai kanan SSM di ibu pejabat dan mempunyai kaitan dengan pegawai di SSM negeri.

“Hasil serbuan dari jam 9 pagi hingga 6.30 petang itu, sebanyak tiga kotak yang mengandungi fail dan dokumen kewangan berkaitan projek dirampas.

“Turut ditemubual tiga orang termasuk kakitangan syarikat dan pegawai kerajaan,” katanya.

Ia merupakan lanjutan kepada serbuan ke empat pejabat di dua negeri itu pada Selasa.

Dalam operasi pada hari itu, SPRM merampas lima kotak mengandungi lebih 20 fail berkaitan projek SSM dan menemubual tujuh orang termasuk seorang pengarah SSM negeri dan beberapa pengarah syarikat.

Isu projek rundingan terus itu disyaki membabitkan pegawai kanan SSM di ibu pejabat dan mempunyai kaitan dengan pegawai di SSM negeri.

Jejak kes rasuah, kronisme dan pengubahan wang haram melibatkan SSM itu membawa SPRM ke lebih 10 buah pejabat, tidak termasuk gudang, bengkel serta kediaman individu dikaitkan dengan kes tersebut setakat ini.

Operasi itu digerakkan susulan gesaan satu pertubuhan masyarakat yang menyenaraikan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi dalam SSM.

Memorandum itu mendakwa beberapa projek SSM diberikan kepada individu dan syarikat yang sama.

Memorandum itu turut menyenaraikan maklumat dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin di Dewan Rakyat pada 12 November lalu, yang mendedahkan dakwaan kelemahan SSM. – 21 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen