Umno tiada krisis dalaman, kata Asyraf


Looi Sue-Chern

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata tiada masalah jika Ahmad Zahid Hamidi mahu kembali menerajui Umno memandangkan beliau masih lagi presiden. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2019.

KETUA Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menafikan wujud krisis dalam Umno selepas timbul cakap-cakap bahawa beberapa pihak dalam parti mahu Ahmad Zahid Hamidi kembali menjalan tugas presiden.

Asraf berkata tiada masalah jika Zahid mahu kembali menerajui Umno memandangkan beliau masih lagi presiden parti.

Malah terpulang juga kepada Zahid sama ada mahu kembali atau tidak, katanya.

“Zahid masih lagi presiden. Beliau hanya bercuti, menyerahkan tugas kepada timbalannya, Mohamad Hasan.

“Tak timbul soal nak bawa Zahid kembali atau tidak. Keputusan sepenuhnya pada beliau,” katanya ketika mengedarkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya di Kepala Batas hari ini.

Asyraf juga berkata Pemuda Umno tidak pernah membincangkan perkara berkenaan walaupun sebelum ini pernah mencadangkan agar Zahid bercuti.

“Malah pada masa itu, kita cuma meminta beliau untuk menimbang cadangan itu. Kita tak paksa,” katanya.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, terdapat usaha untuk memujuk Zahid kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno untuk mengendurkan politiking percaturan jawatan yang sedang rancak berlaku dalam parti.

Beliau mengambil keputusan untuk bercuti selepas menghadapi 45 pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM114.15 juta dan juga untuk meredakan keadaan dalaman yang bergolak pada masa itu disebabkan tindakan 17 ahli Parlimen Umno yang keluar parti.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight awal bulan ini, Zahid berkata beliau tidak pernah menggunakan istilah “bercuti” tetapi hanya menyerahkan kepercayaan kepada Mohamad untuk menjalankan tugas presiden.

Bagaimanapun, sepanjang ketiadaan beliau, timbul cakap-cakap bahawa wujud pertikaian dalam kalangan pimpinan Umno menjelang pemilihan parti pada 2021.

Muncul satu senarai “Team Tok Mat” yang menyenaraikan Mohamad sebagai presiden, Mohamed Khaled Nordin sebagai timbalan manakala Asyrafm Johari Abdul Ghani dan Abdul Rahman Dahlan sebagai naib presiden.

Asyraf yang dalam program jelajah sempena Ramadan anjuran Pemuda Umno ke seluruh negara berkata, beliau tidak pernah mendengar mengenai krisis dalamn di peringkat akar umbi mengenai isu tersebut.

“Saya dah pergi ke banyak negeri dan tak pernah dengar isu ini di peringkat akar umbi.

“Semua ini hanya dimainkan oleh sesetengah pihak. Ia bukan mewakili (pandangan) parti secara kesuluruhannya,” kata Asyraf.  – 20 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen