Polis tidak siasat pengguna Instagram sokong remaja bunuh diri


Desmond Davidson

Pada 13 Mei lalu, seorang remaja berusia 16 tahun di Sarawak terjun dari tingkat tiga bangunan pangsapuri di Batu Kawa selepas 69% pengikutnya di Instagram mengundi supaya dia membunuh diri. – Gambar EPA, 20 Mei, 2019.

PENGGUNA Instagram yang menggalakkan seorang remaja di Sarawak membunuh diri menerusi undian dalam talian di laman sosial itu baru-baru ini tidak akan disiasat, kata ketua polis daerah yang menyiasat kes tersebut.

“Kita tidak akan siasat,” kata Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan memberitahu The Malaysian Insight hari ini.

Pada 13 Mei lalu, remaja berusia 16 tahun itu terjun dari tingkat tiga bangunan pangsapuri di Batu Kawa selepas 69% pengikutnya mengundi supaya dia membunuh diri.

Kejadian tersebut mendapat perhatian dunia dan pihak polis telah digesa untuk menyiasat serta mendakwa responden yang mempengaruhi dan bersubahat dalam kes bunuh diri itu.

Perbuatan mempengaruhi dan bersubahat dalam kes bunuh diri adalah satu kesalahan jenayah yang boleh membawa kepada hukuman maksimum 10 tahun penjara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata udang-undang yang mengawal penggunaan Internet akan dipinda untuk mengelak kejadian serupa.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga katanya akan meneliti sama ada mereka yang mempengaruhi remaja membunuh diri boleh didakwa kerana bersubahat.

Bagaimanapun, Aidil berkata polis tetap meneruskan siasatan ke atas kematian yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata polis masih menunggu laporan dari Jabatan Kimia dan agensi berkaitan untuk melengkapkan siasatan.

Remaja itu dilaporkan terjun beberapa jam selepas memuat naik undian “Sangat Penting, Tolong Saya Pilih D/L”. Majoriti responden mengundi dia patut memilih “D” (mati) berbanding “L” (hidup). – 20 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen