KERTAS siasatan dakwaan penyelewengan dalam projek pembangunan kontroversi melibatkan Taman Rimba Kiara di Kuala Lumpur kini dalam fasa akhir sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki berkata siasatan kes itu masih berjalan, dan selama ini terus berjalan, tidak pernah dihentikan.
“Sebelum ini, kami sudah menyiapkan kertas siasatan kes ini dan apabila isu ini berbangkit semula, kertas siasatan dibuka semula.
“Kami sudah merakam keterangan beberapa saksi dan pegawai penyiasat akan melengkapkan kertas siasatan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada DPP untuk tindakan lanjut,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau meminta semua pihak bersabar dan menunggu proses siasatan selesai.
Azam mengulas kenyataan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh yang menyindir SPRM lebih elok “tutup kedai” jika tidak dapat mencari unsur salah laku dalam kes Taman Rimba Kiara, yang katanya jelas dicemari unsur pelanggaran undang-undang.
Isu pembangunan melibatkan Taman Rimba Kiara berbangkit semula minggu ini selepas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad dan Yeoh yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berselisih pendapat secara terbuka mengenai masa depan projek itu.
Sumber penyiasat anti rasuah dalam pada itu memberitahu The Malaysian Insight, siasatan setakat ini mendapati kes berkenaan lebih diselubungi rasa tidak puas hati pihak yang terlibat, dan tidak semestinya ada unsur jenayah.
“Kes ini lebih kepada rasa tidak puas hati dan bukannya ada unsur jenayah.
“Namun disebabkan orang awam minta SPRM siasat, kami akur dengan permintaan mereka,” katanya.
SPRM sebelum ini memberi jaminan akan menyiasat setiap individu yang terbabit dengan rasuah dan salah guna kuasa berhubung projek pembangunan di Taman Rimba Kiara.
SPRM memberi jaminan itu selepas penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) meluahkan kecewa kerana tiada tindakan diambil terhadap bekas menteri wilayah persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung projek itu, yang meluluskan projek itu pada 2014..
Penyeleras badan bertindak Selamatkan Rimba Kiara (STRK) Leon Koay mendakwa terdapat tanda yang mencukupi menunjukkan Tengku Adnan ada kepentingan peribadi dalam projek itu.
Katanya, bukti sama juga ditemui oleh badan kempen anti rasuah Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme (C4).
Tengku Adnan baru-baru ini dihadapkan ke mahkamah berhubung dakwaan menerima suapan RM3 juta yang dikaitkan dengan satu projek pembangunan lain di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Pada Januari lalu, pengarah eksekutif C4, Cynthia Gabriel menuntut agar SPRM menyoal siasat Tengku Adnan berhubung keputusan bekas menteri itu membenarkan pembangunan di Taman Rimba Kiara.
Beliau mendakwa Tengku Adnan ada hubungan dan kepentingan dengan pengarah syarikat yang dianugerahkan projek pembangunan itu.
Sebagai menteri, Tengku Adnan mengawasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan juga pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).
Sewaktu beliau menjadi menteri, Tanah Taman Rimba Kiara yang merupakan kawasan awam dipindahkan kepada YWP.
YWP seterusnya membentuk usaha sama dengan pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd untuk membina lapan blok pangsapuri setinggi 42 hingga 54 tingkat dan satu blok 29 tingkat perumahan mampu dimiliki.
DBKL memberikan kebenaran projek diteruskan pada Julai 2017 walaupun mendapat bantahan penduduk TTDI. – 18 Mei, 2019.
Komen