AGENSI antirasuah memberi jaminan untuk menyiasat setiap individu yang terbabit dengan rasuah dan salah guna kuasa berhubung projek pembangunan di Taman Rimba Kiara.
Seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, kertas siasatan sudah dibuka berhubung projek pembinaan blok pangsapuri mewah bertingkat itu.
Menurutnya, semua pihak yang terbabit dalam skandal tersebut akan disiasat dan dipanggil untuk rakam keterangan bagi projek di atas tanah yang diklasifikasikan sebagai ruang awam itu.
“Kami akan siasat siapa sahaja yang terlibat dalam rasuah atau salah guna kuasa projek itu.
“Saya tidak mahu namakan siapa yang disiasat. Cukup sekadar saya nyatakan kita telah membuka kertas siasatan,” katanya kepada The Malaysian Insight, hari ini.
Beliau menjawab rungutan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang kecewa kerana masih tiada tindakan diambil terhadap bekas menteri wilayah persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung projek itu.
Koordinator Selamatkan Rimba Kiara (STRK) Leon Koay mendakwa terdapat tanda yang mencukupi menunjukkan Tengku Adnan yang juga dikenali sebagai Ku Nan mempunyai konflik kepentingan dengan projek itu.
Koay berkata Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme (C4) juga mendapati terdapat konflik kepentingan Tengku Adnan dalam projek yang diluluskan pada 2017 itu.

Tengku Adnan setakat ini tidak menghadapi apa-apa tuduhan di mahkaman berhubung kes projek pembangunan di Taman Rimba Kiara.
Dia pertuduhan yang dihadapinya setakat ini adalah dakwaan menerima rasuah sebanyak RM3 juta yang dikaitkan dengan projek pembangunan berasingan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Pengarah eksekutif C4, Cynthia Gabriel pada bulan lalu menuntut agar SPRM menyoal Tengku Adnan berhubung keputusan bekas menteri itu untuk membenarkan pembangunan Taman Rimba Kiara.
Hubungan Tengku Adnan dengan para pengarah syarikat yang dianugerahkan projek pembangunan itu menimbulkan persoalan tentang ‘konflik kepentingan yang serius’, dakwanya.
Tengku Adnan, sebagai bekas menteri, mengawasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan juga pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).
Sewaktu beliau menjadi menteri, Tanah Taman Rimba Kiara yang merupakan kawasan awam dipindahkan kepada YWP.
YWP sterusnya membentuk usaha sama dengan pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd untuk membina lapan blok pangsapuri setinggi 42 hingga 54 tingkat dan satu blok 29 tingkat perumahan mampu dimiliki.
DBKL memberikan kebenaran projek diteruskan pada Julai 2017 walaupun mendapat bantahan penduduk TTDI.
The Malaysian Insight difahamkan sebuah jawatankuasa kerjasama yang dibentuk untuk menyelesaikan kebuntuan projek itu akan bertemu selepas Tahun Baharu Cina.
Dalam mesyuarat terakhirnya pada Disember, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menolak cadangan balas pemaju untuk mengurangkan bilangan bangunan kondominium daripada lapan kepada empat blok.
Jawatankuasa ini terdiri daripada Yeoh, YWP, kementerian dan wakil daripada persatuan penduduk TTDI dan rumah panjang Bukit Kiara. – 6 Februari, 2019.
Komen