PAS hari ini mengeluarkan perintah larangan kepada ahli-ahli daripada membincangkan hal ehwal parti secara terbuka di media termasuk di media sosial berkuatkuasa serta merta.
Dalam sepucuk surat yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan hari ini, ahli PAS hanya dibenarkan untuk memberi pandangan, pendapat, cadangan dan kritikan melalui saluran parti di pelbagai peringkat.
“Ini merupakan disiplin parti yang menjamin kebebasan bersuara di samping pada masa yang sama mengawal serta memelihara kerahsiaan organisasi,” kata Takiyuddin dalam surat tersebut.
Larangan ini dikeluarkan ketika bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS, Zaharudin Muhammad dalam coretan di Facebook beliau baru-baru ini mendedahkan kisah di sebalik tularnya audio Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengenai dana yang diterima pihak tertentu daripada Umno atau orang berkaitan Umno.
Beliau yang juga merupakan menantu Abdul Hadi Awang turut membayangkan bersedia untuk mendedahkan bukti-bukti yang beliau ada bagi menafikan pengakuan dibuat Nik Abduh sebelum ini iaitu menafikan rakaman audio yang tular sekitar Mac tahun lalu itu mendapat restu presiden PAS.
Menerusi beberapa siri status yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya, Zaharudin berkata coretan terbabit adalah untuk menghindarkan “fitnah yang sedang menjalar, bukan fitnah yang sedang tidur”.
Malah Zaharudin juga mendakwa, pendedahannya mengenai ‘kartel dedak’ itu mendapat restu daripada presiden PAS.
Bagaimanapun Abdul Hadi menafikan beliau memberi restu kepada menantunya itu dan menegaskan tindakan Zaharudin itu dibuat tanpa pengetahuannya.
Menurut Takiyuddin, sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti merupakan kesalahan tatatertib.
“Adalah juga menjadi kesalahan sekiranya ahli tidak taat dan patuh kepada arahan parti yang berdasarkan perlembagaan serta aturan dan peraturannya.
“Sebarang keingkaran terhadap perintah ini membolehkan seseorang ahli dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib PAS,” katanya.
Zaharudin juga akan dipanggil mengadap Jawatankuasa Tatatertib parti dalam masa terdekat bagi menyiasat perilaku tersebut selepas PAS pusat menerima aduan berhubung perlanggaran tatatertib parti.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan duit yang dikatakan diterima oleh pemimpin PAS dari Umno atau pemimpin Umno. Laporan media sebelum ini menyebut kertas siasatan sudah dihantar ke pejabat Peguam Negara. – 14 Mei, 2019
Komen