PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang nafi beliau memberi restu kepada menantunya Zaharudin Muhammad untuk membuat pendedahan mengenai “kartel dedak” yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin dan parti Islam itu.
Abdul Hadi berkata tindakan Zaharudin dibuat tanpa pengetahuannya, merujuk pada tulisan menantunya itu di Facebook mengenai “kartel dedak” sejak beberapa hari lalu.
“Itu tidak betul. Restu ini tidak betul. Tidak ada restu,” katanya pada sidang media selepas Program Dialog dan Berbuka Puasa Pimpinan Pas Pusat bersama media di Ampang, Selangor hari ini.
Zaharudin dalam coretan di Facebook beliau sebelum ini mendedahkan kisah di sebalik tularnya audio Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengenai dana yang didakwa daripada Umno atau orang yang ada kaitan dengan Umno, dan diterima oleh pimpinan PAS.
Zaharuddin juga membayangkan sedia untuk mendedahkan bukti-bukti yang beliau ada bagi menafikan pengakuan dibuat Nik Abduh sebelum ini.
Nik Abduh sebelum ini mendakwa rakaman audio suaranya yang tular sekitar Mac tahun lalu mendapat restu presiden PAS.
Dalam pendedahannya, Zaharuddin turut menyebut lima pemimpin PAS terlibat sebagai “kartel dedak”, yang nama mereka beliau dedahkan dengan memakai nama singkatan atau kod tertentu.
Media sosial kemudian tular dengan tanggapan antara lima nama yang didedahkan oleh Zaharuddin itu termasuk Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pemuda PAS, Abdul Khalil Abdul Hadi.
Zaharuddin kemudian menafikan mereka adalah orang yang beliau dimaksudkan.
“Tak sama dengan apa yang saya maksudkan. Takkan MB Terengganu terlibat? Takkan adik ipar ana (saya) sendiri terlibat,” tulis Zaharuddin, sambil mendakwa tuduhan itu disebarkan oleh Amanah.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hasaan dalam sidang media sama berkata Zaharudin akan dipanggil mengadap jawatankuasa tatatertib parti.
“Kita dimaklumkan, kita terima aduan berhubung perlanggaran tatatertib parti.
“Jawatankuasa Disiplin PAS akan buat keputusan. Aduan itu akan disiasat dan dibuat pendakwaan,” katanya.
Mengulas lanjut perkara itu, Abdul Hadi menyifat isu pendedahan “kartel dedak” yang dibongkar menantunya itu seperti filem lama yang sengaja ditayangkan semula.
“Itu (kartel dedak) itu filem lama yang sudah ditayang, ia sudah selesai.
“Kita anggap perkara itu dah selesai, ia libatkan disiplin,” ujar Abdul Hadi.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan duit yang dikatakan diterima oleh pemimpin PAS dari Umno atau pemimpin Umno. Laporan media sebelum ini menyebut kertas siasatan sudah dihantar ke pejabat Peguam Negara. – 13 Mei, 2019
Komen